DAP Kedah Desak Guan Eng Letak Jawatan

Alor Setar – DAP Kedah mendesak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meletak jawatan kerana didakwa gagal menguruskan parti dengan baik dan efisien.

 

Setiausaha Organisasi, Law Theng Hooi berkata, kegagalan itu menyebabkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menggunakan akta pertubuhan untuk menolak dan tidak menerima keputusan pemilihan parti sebanyak dua kali pada 2012 dan 2013.

 

Beliau berkata, kekeliruan juga timbul apabila berlaku pertambahan lebih 120 cawangan baharu di seluruh negara pada pemilihan 2013 yang masih dalam siasatan ROS.

 

“Kekeliruan ini masih belum dijawab oleh Guan Eng,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

 

Theng Hooi berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga bersikap pilih kasih terhadap pemimpin DAP.

 

Menurutnya, bekas Adun DAP Pulau Tikus, Koay Teng Hai digantung keahlian kerana tidak hadir pada sidang Dun Pulau Pinang ketika pembentangan usul lompat parti.

 

Ketidakhadirannya nyaris menggagalkan usul berkenaan.

 

“Apabila berlaku terhadap Guan Eng sendiri (tidak hadir) di Dewan Rakyat ketika pembentangan Akta Hasutan hukuman setimpal perlu diterima oleh Guan Eng sama seperti Teng Hai.

 

“Namun itu tidak pula berlaku. Jangan anggap disebabkan dirinya memegang jawatan tinggi dalam parti boleh mengelak dari dikenakan tindakan disiplin,” katanya.

 

Theng Hooi berkata, jawatankuasa disiplin perlu bertindak tegas dengan mengambil tindakan ke atas Guan Eng kerana kecuaian itu. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.