JAS Laksana Pembersihan Pencemaran Kimia Terbaru Di Sungai Masai

BAU cuka pekat dan pokok mati. Begitulah gambaran di lokasi baharu penemuan bahan kimia dipercayai mempunyai sisa toksik berhampiran Sungai Masai di Pasir Gudang, sejak kelmarin.

Tinjauan Harian Metro di lokasi itu mendapati, kerja pembersihan dilakukan pelbagai pihak dipercayai Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kimia dan kontraktor pembersihan.

Dianggarkan lebih 20 petugas berpakaian keselamatan peribadi (PPE) bertungkus-lumus membersihkan kawasan bersebelahan Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Johor Bahru itu.

Tiga jengkaut digunakan bagi operasi pembersihan sungai berkenaan dengan dua diletak di dalam sungai dan satu lagi di tepi lebuh raya.

Selain itu terdapat dua treler dipercayai untuk pemindahan bahan kimia itu.

Senario di lokasi memperlihatkan beberapa pokok mati, selain bau seakan cuka pekat.

Bagaimanapun, usaha wartawan dan jurugambar menghampiri kawasan itu dihalang petugas bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Dr Sahruddin berkata, pihaknya maklum dengan penemuan itu dan agensi berkaitan sudah mengambil tindakan.

“Kakitangan JAS Johor sudah pergi ke lokasi dan mengambil tindakan dengan mengumpul tong berkenaan,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.