Umum Calon Awal Elak Sabotaj – TPM

CYBERJAYA – Langkah Barisan Nasional (BN) untuk mengumumkan calon lebih awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan mengelakkan unsur sabotaj terhadap parti dan calon yang dipilih.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah di luar kotak yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selaku Pengerusi BN itu adalah amalan yang baik dan sesuai untuk PRU-14 serta pilihan raya seterusnya.

“Lazimnya, calon BN diumum sehari sebelum penamaan calon, atau calon mendapat watikah pada malam sebelum penamaan calon, namun langkah mengumumkan calon lebih awal akan membolehkannya bersiap siaga.

“Kita tahu lazimnya berlaku, ada yang berkecil hati kerana merasakan dirinya patut disambung semula sebagai calon atau merasakan dirinya saja yang layak. Jadi, ada proses pemujukan secukupnya sebelum hari penamaan calon.

“Kita mahu mengelakkan unsur sabotaj sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini apabila ada seseorang yang mempunyai pengikut mempengaruhi jentera parti untuk tidak melaksanakan tugas dalam kempen pilihan raya dan pada waktu yang sama, merosakkan undi serta melakukan sabotaj pada parti,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata demikian pada sidang media selepas menyertai rakaman Program Bual Bicara “Orang Diparol” di Studio TV Al-Hijrah di sini, hari ini.

Semalam, Najib memaklumkan, BN akan menamakan calon PRU-14 lebih awal bagi membolehkan masalah berbangkit di sesuatu kawasan ditangani lebih cepat.

Akhbar NSTP pada 13 Mac lalu melaporkan bahawa BN terutama UMNO akan melakukan langkah berkenaan, sekali gus memecah tradisi yang diamalkan selama ini.

Ahmad Zahid berkata, BN sudah menjalankan kajian dinamik terhadap nama yang dicadangkan akar umbi, bahagian dan negeri untuk mewakili parti itu dan melihat kepada tiga aspek utama iaitu kesedaran pengundi terhadap potensi seseorang itu sebagai calon, penerimaan mereka dan daya kemenangan calon.

“Kajian ini bukan bergantung kepada badan sedia ada tetapi dilakukan secara dinamik, ertinya ia bukan kajian rambang.

“Jika di satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen itu tidak ada calon yang boleh diterima masyarakat, kita lakukan pilihan kedua,” katanya.

Ditanya sama ada calon yang diumumkan kelak boleh ditukar dengan calon lain pada saat akhir, Ahmad Zahid berkata perkara itu terpulang kepada Najib.

Mengenai momentum penerimaan pengundi terhadap BN, Ahmad Zahid berkata ia semakin baik termasuk di kawasan hitam dan kelabu, malah teguran yang diberikan beliau ketika melawat sesuatu kawasan turut diterima positif oleh jentera parti termasuk parti komponen, lapor BH

Berhubung kenyataannya kelmarin yang bersedia untuk berundur awal dari dunia politik, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, sambil berseloroh berkata PRU-14 adalah pilihan raya terakhir bagi beliau jika tidak lagi dipilih oleh Najib kelak.

“Jika saya masih dikehendaki terutama oleh penduduk Bagan Datuk, saya akan berhenti sebelum usia 93 tahun,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.