Ismail Izzani Sedar Diri

KUALA LUMPUR: Fenonema dicetuskan kumpulan bakat baharu digelar ‘Budak-Budak Baru Nak Up’ (BBBNU) meletakkan mereka sebagai sasaran netizen yang cenderung membuat perbandingan artis mana lebih hebat.

Pernah berkongsi status membayangkan dirinya seolah-olah kecewa dengan kecaman netizen, Ismail Izzani, 18, mengaku vokal dimiliki tidak sehebat mana, namun daya juangnya tinggi.

“Saya mengaku vokal tidaklah sehebat mana… Tapi bagi saya, masing-masing ada kehebatan dan keunikan tersendiri. Benar, saya ada meluahkan dalam media sosial mengenai perkara itu, namun bukanlah kerana saya kecewa atau sebagainya.

“Saya tahu ada yang mengecam kenapa saya tidak boleh ‘tarik’ suara tinggi seperti penyanyi lain dan bermacam-macam lagi. Saya sedar kebolehan diri sendiri, tetapi saya ada semangat juang yang tinggi untuk terus relevan.

“Selain menyanyi, saya meminati bidang seni lain termasuk menari,” katanya kepada BH Online.

Ismail yang juga anak kepada penyanyi era 1980-an, Datin Suliza Salam, mencipta populariti selepas single sulung berjudul Sabar, hasil ciptaannya bersama Omar K, Adib Hamdi dan Zyn, meniti di bibir pendengar.

Ismail atau mesra dikenali sebagai Mael berkata, dia percaya muzik yang dibawanya meletakkan diri dalam liga tersendiri berbanding teman dalam kalangan BBBNU lain.

“Inilah formula digunakan apabila saya mengadun rentak muzik yang segar dan terkini dalam single baharu, Luar Biasa. Lagu ini dicipta khusus untuk peminat,” katanya.

Sementara itu, Ismail memberitahu, dia akan menghiburkan peminat pada Karnival Usahawan Muda Malaysia (KUMM) 2018 di tapak parkir bersebelahan Kompleks Beli-Belah Ampang Point di Ampang, malam ini.

Ismail bersama artis lain termasuk As’ad Motawh, Ariff Bahran dan Haziq Putera Band akan mengisi slot persembahan antara jam 9 malam hingga 12 tengah malam.

“Saya sentiasa menyokong program yang menggalakkan generasi muda menceburi dunia perniagaan seperti ini,” katanya mengulas mengenai karnival yang dianjurkan Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia (PUMMA) itu.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.