Mat Sabu Mahu Kongsi Pentas Ceramah Dengan Mahathir

ALOR SETAR – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu bersedia berkongsi pentas yang sama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada suatu hari nanti.

 

Menurutnya, kesediaan itu bukan bersifat kepentingan politik semata-mata tetapi untuk ‘Selamatkan Malaysia’.

 

“Selepas 22 tahun (Tun Mahathir) jadi Perdana Menteri, dia berhenti dan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) ganti dia. Kemudian dia hentam Pak Lah pula.

 

“Mahathir kritik dan keluar Umno, dia bukan boleh duduk diam. Akhirnya naik Datuk Seri Najib Tun Razak, orang kesayangannya dengan harapan dapat membetulkan keadaan. Tapi semakin teruk,” katanya.

 

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata demikian pada ceramah Selamatkan Malaysia di Dewan Orang Ramai Kampung Kelompang, Tok Keling, Alor Mengkudu, di sini, semalam.

 

Turut hadir Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh; Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Gooi Hsiao Leong; bekas exco Kedah, Fadzil Hanafi dan aktivis, Adam Adli.

 

“Kita boleh kata dia (Mahathir) jahat, tapi dia lebih tahu siapa lebih jahat daripada dia. Najib lebih teruk apabila hutang negara beratus bilion ringgit. Sekarang Malaysia jadi negara penuh dengan pembohongan.

 

“Kemudian dia tak tahan dan keluar Umno untuk kali kedua. Dia kata kita perlu lawan Najib dan BN juga perlu ditolak semasa PRU14. Saya sedia satu pentas dengan Tun Mahathir, Inysa-ALLAH,” katanya.

 

Mat Sabu berkata, sekiranya Mahathir mahu menjatuhkan BN, maka Amanah dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan sedia bersamanya dan rakan lain.

 

“Parti politik kena tegas, jangan kata hari ini masuk politik bukan untuk jadi pemerintah. Kalau macam itu baik jadi Tabligh.

 

“Kita juga tak mahu hukum hudud jadi bahan permainan. Tiba-tiba buat kenyataan hudud bukan agenda pula. Kita tak mahu hal syariat Islam jadi mainan,” katanya.

 

Menurutnya, rakyat wajar memberi peluang dan sokongan kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir negara ini demi menyelamatkan Malaysia.

 

“Kalau lima tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan baik dan bersih, sokong lagi untuk lima tahun kemudian.

 

“Tapi kalau penggal seterusnya berlaku rasuah, kita tukar balik kepada kerajaan sebelum ini. Sebab sekarang rakyat terlalu susah dan terbeban dengan kenaikan kos sara hidup dan GST (cukai barangan dan perkhidmatan),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.