DAP, Pakatan Harapan Tidak Minat Kerjasama Dengan PAS, Ikatan

GEORGETOWN – Pakatan Harapan tidak berhasrat menjalin sebarang kerjasama dengan blok baharu pembangkang antara PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

 

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika menegaskan perkara itu berkata asas kerjasama dengan PAS sudah tidak wujud lagi apabila parti itu tidak berpegang kepada prinsip dan hala tuju pakatan pembangkang.

 

Katanya untuk menjadi rakan sekutu apa yang penting adalah kepercayaan antara satu sama lain, namun kemelut yang berlaku antara DAP dan PAS sebelum ini membuatkan DAP hilang kepercayaan kepada bekas rakan sekutunya itu.

 

“Saya rasa susah untuk (bekerjasama dengan) PAS dan Ikatan kerana mereka menunjukkan mereka lebih mirip kepada UMNO dan Barisan Nasional. Kenyataan yang mereka buat tidak konsisten.

 

“Saya rasa asas kerjasama sudah tidak wujud lagi iaitu kepercayaan … yang penting ialah apa yang anda setuju dalam mesyuarat mesti berpegang di luar.

 

“Apabila ini tidak dilaksanakan sukar bila tidak ada kepercayaan antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan alat Defibrilator Luaran Automatik (AED) di Taman Botani, di sini Sabtu.

 

Lim berkata demikian ketika ditanya sama ada Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara akan bekerjasama dengan gabungan PAS-Ikatan bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak nanti.

 

Pada Rabu lepas, PAS mengumumkan penubuhan permuafakatan baharu bersama Ikatan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.