Pilihan Raya Majlis PBT Tidak Sesuai, Kos Tinggi – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Pilihan raya majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak sesuai kerana ia melibatkan kos pengurusan yang tinggi sedangkan peruntukan itu boleh digunakan untuk projek pembangunan untuk rakyat, Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.

 

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata selain itu, kos-kos tidak langsung bagi mengadakan pilihan raya itu akan membebankan PBT yang kecil yang mengalami defisit perbelanjaan.

 

“Meskipun pilihan raya kerajaan tempatan diamalkan di beberapa negara luar, namun bilangan pengundi adalah sedikit dan keputusan tidak menggambarkan kehendak sebenar penduduk setempat,” katanya ketika menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang meminta alasan kerajaan tidak membenarkan pilihan raya PBT.

 

Abdul Rahman berkata kepimpinan PBT yang sentiasa berubah juga akan menjejaskan kelancaran pelaksanaan dasar dan program penambahbaikan yang telah digubal di peringkat pusat yang akan memberi kesan negatif kepada rakyat.

 

Di samping itu, katanya tempoh perkhidmatan yang singkat akan menyebabkan ahli majlis yang dipilih menumpukan perhatian kepada usaha untuk mengekalkan kedudukan masing-masing selain mengabaikan tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya.

 

“Dengan mengambil kira komposisi kaum yang tidak seimbang antara bandar dan luar bandar adalah dikhuatiri pilihan raya kerajaan tempatan akan menyebabkan pengurusan PBT mempunyai ahli majlis yang dipilih hanya mewakili kepentingan sesuatu kaum sahaja,” katanya.

 

Merujuk kepada PBT di Sabah dan Sarawak yang tidak tertakluk kepada Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960, katanya, undang-undang bagi membolehkan pilihan raya kerajaan tempatan di kedua-dua negeri berkenaan juga perlu diwujudkan.

 

Menurutnya, jika kedua-dua negeri berkenaan tidak bersetuju untuk mengadakan pilihan raya tersebut, maka akan wujud dua sistem kerajaan tempatan yang berbeza di negara ini.

 

Pada Ogos tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya PBT. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.