MAS Bayar Pampasan 
RM28.44 Juta Kepada Waris MH17

KUALA LUMPUR – Syarikat Malaysia Airlines (MAS) telah membayar pampasan sebanyak RM28.44 juta kepada 158 waris terdekat mang­sa nahas pesawat penerbangan MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai tahun lalu.

 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, setakat ini, jumlah pampasan itu telah dibayar oleh MAS melalui pihak insurans kepada waris terdekat nahas pesawat tersebut.

 

“Bagaimanapun jumlah penuh dan akhir pampasan yang patut diterima oleh keluarga mangsa adalah bergantung kepada pembuktian kerugian yang unik bagi setiap penumpang.

 

“Pembuktian kerugian itu akan dinilai mengikut prinsip undang-undang dan tertakluk kepada Konvensyen Monteral 1999,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya) yang meminta kementerian menyatakan hasil siasatan dan pampasan yang diberikan kepada waris nahas pesawat berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Jelasnya, MAS juga telah menawarkan wang pendahuluan pampasan berjumlah AS$50,000 kepada setiap waris penumpang MH17.

 

Mengulas berhubung siasatan MH17, Tiong Lai memberitahu, siasatan insiden itu dibahagikan kepada dua aspek iaitu siasatan ke­selamatan dan siasatan jenayah.

 

“Siasatan jenayah dikendalikan oleh negara masing-masing seperti Malaysia, Australia, Ukraine dan Belanda.

 

“Malah, siasatan bersama yang diterajui oleh Belanda dan dianggotai oleh Malaysia, Ukraine, Australia dan Belgium diwujudkan bagi melicinkan kerjasama antara negara berkepentingan,” ujarnya.

 

Sementara itu, katanya, siasatan berdasarkan Annex 13 (keselamatan) pula meliputi aspek teknikal bagi tujuan mengelakkan peristiwa yang sama berulang pada masa akan datang. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.