Liga Juara-Juara Eropah: Barcelona, Juventus Mara

PARIS – Gol tunggal babak pertama Ivan Rakitic cukup buat Barcelona menyingkirkan juara Inggeris, Manchester City dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah, sekali gus menempah tiket ke suku akhir, awal pagi tadi.

 

Gergasi Sepanyol itu mara menerusi keputusan agregat 3-1 hasil kemenangan 1-0 di laman sendiri di Nou Camp, selain turut menundukkan City di Etihad, 2-1 minggu lepas.

 

Sementara itu, bekas pemain City, Carlos Tevez meledak dua gol untuk membantu Juventus mencatat kemenangan 3-0 ke atas finalis 2013, Borussia Dortmund di laman lawan dan mara dengan keputusan agregat 5-1.

 

Ia sesuatu yang cukup cemerlang buat Tevez kerana selepas ketandusan gol selama enam musim di kejohanan elit Eropah itu, dia kini sudah mengumpul enam gol setakat ini.

 

Sekalipun menampilkan persembahan dianggap cemerlang bersama kelab, Tevez yang tidak dipanggil beraksi bersama skuad kebangsaan Argentina termasuk di Piala Dunia tahun lepas tetap merendah diri sambil menyifatkan sumbangannya tidak seberapa.

 

“Keseluruhan pasukan bermain dengan amat baik. Saya hanya melakukan kerja saya dan pasukan layak untuk mencatat kemenangan,” kata Tevez.

 

“Kami menunjukkan pengalaman kami dan saya fikir kami berada di landasan yang betul,” kata penyerang berusia 31 tahun itu.

 

Dalam pada itu, Rakitic jelas gembira dengan jaringannya yang dibantu kecemerlangan Lionel Messi yang melepaskan hantaran tepat ke arahnya untuk menewaskan penjaga gol City, Joe Hart.

 

“Saya fikir kami melakukan usaha yang hebat,” kata Rakitic selepas menjaringkan gol pertamanya dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

 

“Mungkin kami boleh menjaringkan lebih gol namun orang ramai menyaksikan persembahan yang hebat,” katanya.

 

City memiliki peluang terbaik untuk merapatkan defisit apabila memperoleh penalti pada minit ke-78 namun penyerang, Sergio Aguero gagal menyempurnakannya.

 

Pengurus Barca, Luis Enrique turut memuji persembahan Hart namun paling menggembirakannya ialah prestasi cemerlang bintangnya, Messi.

 

“Tiada keraguan dia adalah pemain terbaik dunia. Ketika ini dan juga baik saya dalam sejarah sukan ini. Ia jelas dan kami semua gembira memilikinya bersama kami,” katanya.

 

Pengurus City, Manuel Pellegrini pula tidak bimbang mengenai spekulasi jawatannya yang dilihat kian goyah selepas persembahan longlai pemainnya di pentas domestik dan Eropah musim ini.

 

 

“Ia bukannya gangguan. Saya tidak pernah membimbangkan saya jadi ia bukan gangguan,” kata pengurus kelahiran Chile itu.

 

Penyingkiran City dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah menyaksikan England ketika ini tidak memiliki wakil di peringkat suku akhir selepas Arsenal dan Chelsea turut berdepan nasib sama manakala Liverpool pula tersingkir lebih awal.

 

Ini kali kedua dalam tempoh tiga musim tiada pasukan daripada Liga Perdana Inggeris di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah. – AFP/BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.