IS Mula Rekrut Kanak-Kanak Jadi Militan

SEREMBAN – Golongan sasar untuk memperluaskan ideologi keganasan dalam kumpulan militan Negara Islam (IS) tidak hanya tertumpu kepada golongan muda tetapi taktik berkenaan mula ber­ubah dengan menjadikan kanak-kanak sebagai ahli untuk direkrut.

 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawa­ngan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay menjelaskan, kecenderungan untuk menjadikan kanak-kanak sebagai ahli untuk direkrut adalah tinggi, apatah lagi beberapa keluarga rakyat Malaysia di Syria terlibat dalam kumpulan itu.

 

Namun katanya, polis belum menerima sebarang maklumat berhubung usaha merekrut kanak-kanak secara terus dari negara ini untuk menjadi ahli militan seperti mana paparan dalam klip video laman YouTube baru-baru ini yang menunjukkan kanak-kanak bertutur dalam bahasa Indonesia menjalani latihan ketenteraan di Syria.

 

“Memang ada kanak-kanak dari Malaysia kini berada di Syria ke­rana dibawa oleh keluarga mereka. Kanak-kanak terbabit berusia antara empat bulan hingga 12 tahun. Jika ada sekali pun, saya tidak terkejut kerana mereka sudah berada di negara bergolak itu dan tinggal di kem yang telah disediakan.

 

“Tetapi, kita tidak dapat mengesahkan sama ada mereka (kanak-kanak) ini termasuk dalam kumpulan yang terpapar dalam klip video berkenaan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menyampaikan taklimat mengenai ancaman Gerakan IS kepada penuntut dan kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Dewan Besar USIM di sini semalam.

 

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin dan Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad.

 

Ayub menjelaskan, perkara tersebut bukan sesuatu yang mustahil kerana penggunaan kanak-kanak menerusi klip video untuk tujuan merekrut pernah dilakukan oleh kumpulan militan se­perti Al-Qaeda bagi menarik remaja menyer­tai kumpulan militan.

 

Dalam pada itu beliau menjelaskan, dalam konteks Malaysia, selepas polis membuat pelbagai tangkapan terhadap individu disyaki terlibat dengan IS, tidak ada tanda-tanda perkara ini berkurangan malah ia semakin serius.

 

“Ancaman IS memang serius, masih ramai yang mahu ke Syria dan dalam konteks terbaharu, ada yang memberi alasan mahu mengerjakan umrah. Sebab itu perlu lebih banyak penerangan mengenai ancaman IS kepada masyarakat terutama terhadap para pelajar,” jelasnya.

 

Tambah Ayub Khan, setakat ini seramai 61 rakyat Malaysia dikenal pasti berada di Syria untuk menyertai beberapa kumpulan militan di sana.

 

“Kita berharap dengan pembentangan Rang Undang-Undang Antikeganasan (POTA) nanti, lebih mudah untuk kita mengambil tindakan terhadap kumpulan terbabit,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.