GST Tetap Diteruskan 1 April

PUTRAJAYA – Kerajaan tetap meneruskan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan bermula pada 1 April ini.

 

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, kerajaan tidak bercadang untuk menangguhkan tarikh pelaksanaannya malah sehingga semalam sebanyak 353,372 syarikat telah berdaftar di bawah GST.

 

Pada masa sama menurut kenya­taan itu, tahap kesedaran dan kefahaman mengenai cukai tersebut dalam kalangan rakyat Malaysia te­lah meningkat hasil daripada usaha yang telah dijalankan secara intensif melalui kempen serta program kesedaran GST melibatkan pelbagai medium komunikasi.

 

“Ini menunjukkan (sektor) perniagaan pada umumnya menyokong dan bersedia untuk pelaksanaan GST di Malaysia.

 

“Selain itu, sebarang penangguhan juga akan memberi impak negatif terhadap penarafan kredit Malaysia kerana pelaksanaan GST merupakan satu langkah konsolidasi fiskal yang amat penting untuk memastikan kemapanan ekonomi negara,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan di sini hari ini.

 

Menurut kementerian itu lagi, sekiranya negara ingin terus kukuh dari segi pertumbuhan ekonomi serta kedudukan kewangan pada masa depan maka GST mesti dilaksanakan.

 

“Ini adalah kerana kerajaan perlu mempelbagaikan sumber hasil kewangan dengan tidak hanya bergantung kepada komoditi seperti petroleum dan kelapa sawit,” kata keyataan tersebut.

 

Jelas kenyataan itu, kekeliruan yang timbul berhubung pelaksanaan GST pula disebabkan terdapat segelintir pihak tertentu yang se­ngaja mensensasikan dan memutar belit pelaksanaannya.

 

Menurut kenyataan itu lagi, golongan yang tidak berpuas hati terhadap GST sengaja berbuat demikian tanpa menyedari pelaksanaan cukai itu telah mengambil kira semua aspek termasuk kebajikan rakyat.

 

Dalam pada itu, menurut kenya­taan tersebut, berdasarkan kepada pengalaman negara-negara lain yang telah melaksanakan GST atau cukai nilai tambah (VAT) akan terdapat masalah dan isu peralihan pada peringkat permulaan.

 

Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia juga tidak akan terkecuali berdepan dengan masalah terbabit namun sebarang isu yang timbul akan ditangani secara komprehensif dan berterusan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.