37 Rumah Dibina Untuk Mangsa Kebakaran Tahun Ini

BANTING – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bercadang membina kira-kira 37 buah rumah untuk mangsa kebakaran di seluruh negara pada tahun ini berbanding 34 buah tahun lepas.

 

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) jabatan itu, Datuk Amer Yusuf berkata, pihaknya menerima peruntukan berjumlah RM1.27 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi tujuan berkenaan.

 

“Setiap rumah dianggarkan menelan kos sebanyak RM40,000 dan dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan KKLW sendiri,” katanya kepada pemberita hari ini.

 

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah bagi Projek Pembinaan Semula Rumah Di Bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan kepada Saimin Misikin, 65, yang rumahnya musnah dalam kebakaran pada Julai tahun lepas akibat litar pintas, di sini.

 

Rumah itu dibina sendiri oleh 16 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang dikenal pasti mempunyai kemahiran dalam bidang pertukangan dan pembinaan rumah.

 

Rumah itu mula dibina pada Oktober 2014 dan siap pada Disember 2014.

 

Sementara itu, Saimin berkata, dia dan keluarga amat berterima kasih kepada pihak bomba kerana dipilih untuk menerima rumah baharu itu.

 

Bapa enam anak itu berkata, dia tidak mampu untuk membina kembali rumahnya atas faktor kewangan dan bergantung sepenuhnya kepada wang pemberian anak-anak untuk perbelanjaan seharian.

 

“Adanya rumah baharu ini, kami sekeluarga kini dapat tinggal dengan selesa dan tidak perlu lagi menumpang di rumah saudara,” katanya. – Bernama/Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.