Solat Zuhur Berjemaah Selamatkan 17 Pelajar Tahfiz Di Dengkil

DENGKIL – Solat Zuhur berjemaah telah menyelamatkan nyawa 17 pelajar tahfiz Madrasatul Quran Al-Ridzuan Masjid As-Shariff Kampung Dato Ahmad Razali apabila balai raya yang dijadikan asrama sementara musnah dalam satu kebakaran pada pukul 1.30 petang tadi.

Menurut Ketua Kampung Dengkil, Mahmud Bunyamin berkata, dia tiba untuk menunaikan solat Zuhur sebelum seorang kanak-kanak lelaki memberitahu bapanya tentang kebakaran yang terletak bersebelahan masjid tersebut dan melihat asap tebal keluar daripada tingkap bangunan tersebut.

“Pada waktu itu, semua jemaah termasuk pelajar sedang dalam rakaat pertama dan mereka teruskan solat seperti biasa sementara saya pulang ke rumah yang terletak sebelah masjid untuk hubungi bomba,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil, Shahrum Mohd Sharif yang tiba di lokasi untuk meninjau keadaan kebakaran tersebut.

Difahamkan, kejadian tersebut adalah yang kedua berlaku kepada pusat pengajian tersebut apabila bangunan asrama di dalam kawasan yang sama musnah dalam kebakaran pada tahun 2016.

Kesemua pelajar itu kemudian ditempatkan di balai raya yang dijadikan sebagai asrama sementara sebelum bangunan yang terbakar sebelum ini dibaik pulih sepenuhnya, lapor Kosmo

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Izman Adnan berkata, 90 peratus daripada bangunan tersebut musnah dan pihak forensik sedang menyiasat punca kejadian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.