Lamborghini Hilang Kawalan, Rempuh 8 Kenderaan Di Bahu Jalan

IPOH – Sebuah kereta Lamborghini yang hilang kawalan merempuh lapan kenderaan yang diletakkan di bahu jalan sepanjang Jalan Sultan Idris Shah berhampiran pusat beli belah Ipoh Parade awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.44 pagi itu, kereta tersebut yang datang dari arah pekan lama secara tiba-tiba menghentam deretan kereta di bahu jalan sebelum melanggar pokok.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby yang mengesahkan kejadian berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

“Pihak polis menerima maklumat sekitar pukul 1.44 pagi mengenai kemalangan di Jalan Sultan Idris Shah menyebabkan kerosakan sembilan kenderaan termasuk kereta Lamborghini pemandu terbabit.

“Siasatan awal mendapati, kenderaan dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun disebabkan hilang kawalan dan merempuh kesemua lapan kenderaan yang berada di tepi jalan.

“Selepas itu, pemandu telah merempuh sebatang pokok,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Jelasnya, siasatan awal mendapati pemandu berkenaan disahkan tidak berada di bawah pengaruh alkohol sebaliknya keletihan ketika kejadian.

“Buat masa ini, siasatan lanjut akan terus dijalankan dan tiada tangkapan dibuat,” katanya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.