Aliff Syukri Sakit Hati Lakonan Dalam Filem Badang Dikecam Netizen

KUALA LUMPUR — Jutawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman berang selepas lakonannya dalam filem “Badang” dikecam.

Beliau sakit hati siang dan malam selepas menyedari “penghinaan” itu setelah ia muncul di layar perak 15 Februari lalu.

“Kamu ingat saya ini apa? Batu? Kayu? Labu? Tunggul?” kata pengasas produk kecantikan D’Herbs dalam video di Instagramnya hari ini.

“Kesabaran saya ada hadnya. Tapi jangan melampau. Pagi petang saya penat berlakon malahan, [yang] saya dapat penghinaan bukan pujian.”

Aliff Syukri, penyanyi “Abang Nak Tegur”, berharap peminat menghargai bakat yang dimilikinya dan meminta bermuhasabah jika berada di tempatnya.

“Ingat saya berlakon ini percuma. Saya tidak buat kerja. Fikirlah apa perasaan saya. Sakit hati saya, kau orang kutuk saya ini,” katanya lagi.

Penerbit filem itu, beliau berkata “Badang” adalah “filem dan hasil seni terbaik” yang boleh mengalahkan filem Hollywood seperti “Black Panther”.

Harian Metro melaporkan filem adiwira komedi itu menerima kecaman pengguna media sosial, khususnya mengutuk Aliff sebagai pelakon utama.

Pengarahnya Datuk A Razak Mohaideen berkata maklum balas negatif itu timbul kerana segelintir warga internet kurang menggemari perwatakan Aliff.

“Ramai yang mengutuk sebenarnya belum menonton filem itu dan membuat komen berdasarkan andaian sahaja,” katanya seperti dilapor. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.