PM Yakin Jamilah Akan Teruskan Legasi Pembangungan Di Tanjung Datu

SHAH ALAM – Kemenangan Puan Sri Jamilah Anu diyakini akan membawa kemajuan dan pembangunan berterusan di Tanjong Datu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Beliau yang mengulas kemenangan besar Jamilah pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu berkata, balu Tan Sri Adenan Satem itu merupakan pilihan terbaik dalam meneruskan legasi pembangunan di kawasan itu yang dibawa oleh Allahyarham suaminya.

 

Adenan merupakan bekas wakil rakyat kawasan itu serta Ketua Menteri Sarawak kelima.

 

“Tahniah kepada calon BN Puan Sri Jamilah Anu yang telah dipilih oleh para pengundi Tanjong Datu sebagai wakil mereka. Hidup Barisan!,” katanya menerusi laman Facebook dan Twitter, malam tadi.

 

Jamilah menewaskan calon Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) Johnny Aput dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit pada PRK Tanjong Datu semalam.

 

Jamilah menang dengan majoriti 6,443 undi apabila memperoleh 6,573 undi manakala Rapelson 130 undi dan Johnny Aput 108 undi.

 

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada pengundi Tanjong Datu atas pemilihan Jamilah.

 

“Perjuangan Tok Nan akan diteruskan. Terima kasih jentera BN dan semua pihak membantu kelancaran PRK,” katanya di laman Twitter.

 

PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian Adenan akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lalu di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.