Pahang Belum Konsisten Walau Menang Besar: Dollah

SKUAD Pahang masih belum mencapai tahap konsisten sebagaimana disasarkan meskipun berjaya membenam Pulau Pinang dengan jaringan 6-1 di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi.

 

Ketua Jurulatihnya, Dollah Salleh berkata, ia berdasarkan persembahan dan keputusan yang dicatatkan pasukan Tok Gajah berkenaan pada awal saingan Liga Super serta Piala FA musim ini.

 

“Kita berjaya mencatat beberapa kemenangan besar termasuk pada malam ini tetapi ketika Pahang menentang Kedah baru-baru ini apa yang berlaku adalah sebaliknya.

 
“Jadi saya rasa masih terlalu awal untuk membuat sebarang rumusan, cuma dengan kemenangan besar ke atas Pulau Pinang diharap ia mampu membakar semangat para pemain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu tamat.

 

Dollah berkata, faktor penentu kepada keupayaan Pahang untuk mara lebih jauh musim ini adalah dengan kemampuan mengekalkan rentak permainan yang mantap.

 

Beliau berkata, masih terdapat kelemahan dalam pasukan yang boleh diperbaiki dan antara yang dikenal pasti adalah menerusi permainan anak buahnya malam tadi iaitu seperti kelekaan pemain dalam mengawal pihak lawan telah memberi ruang kepada mereka untuk menjaringkan satu gol.

 

“Pada babak pertama juga Pahang dilihat banyak bergantung kepada penyerang untuk menghasilkan gol walhal bahagian tengah sepatutnya membantu menggerakkan jentera serangan.

 

“Apabila saya nasihatkan mereka ketika waktu rehat tentang kelemahan ini, kita boleh lihat perubahan corak serangan Pahang sehingga saya yakin mereka boleh mencipta lebih banyak gol,” katanya.

 

Sementara itu, Kapten Pasukan Pahang Matthew Davies berkata, dia amat gembira dengan kemenangan besar itu dan berharap persembahan cemerlang Pahang dapat diteruskan sepanjang musim.

 

“Kemenangan besar ini merupakan usaha dan kerjasama semua pemain yang berjuang bermati-matian untuk menokok jaringan. Kami berharap prestasi cemerlang ini mampu dikekalkan pada setiap perlawanan bagi mencerahkan peluang Pahang mengungguli Liga Super musim ini,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.