Nora Danish Perlahankan Karier Seni Selepas Kahwin

BAGI sesetengah selebriti, peluang melebarkan sayap di persada seni luar merupakan peluang dinantikan.

 

Namun tidak bagi aktres comel berusia 35 tahun ini tidak merancang untuk terus bergerak aktif di Indonesia selepas berpeluang membintangi filem hit negara itu, Syurga Yang Tak Dirindukan 2.

 

“Saya lihat naskhah terlebih dahulu, tapi saya tidak merancang untuk terus bergerak aktif di sana kerana saya juga ada komitmen besar di sini.

 
“Insya-ALLAH saya juga merancang untuk mendirikan rumah tangga tahun ini dan saya akan perlahankan karier seni sekiranya saya sudah berkahwin,” jelasnya ketika ditemui selepas tayangan filem Syurga Yang Tak Dirindukan 2, baru-baru ini.

 

Tambah Nora lagi, keterbukaan pihak produksi Indonesia untuk menjalinkan kerjasama penerbitan filem bersama produksi di Malaysia juga menjadi antara satu sebab dia mahu terus aktif di sini.

 

“Kalau dulu memang susah untuk kita menembusi pasaran di sana. Tapi kini tak lagi sebab banyak projek melibatkan usaha sama dua negara.

 

“Bahkan saya sendiri baru selesai penggambaran Bukan Cinta Malaikat yang turut menyaksikan kerjasama Malaysia dan Indonesia,” katanya.

 

Ditanya pengalaman bekerjasama dengan pelakon-pelakon terkenal Indonesia, Nora berkata, bekerja dengan mereka menjadi pengalaman berharga.

 

Katanya, cara kerja yang tidak jauh berbeza membuatkan dia tidak merasa terlalu janggal berada bersama yang lain.

 

“Selama saya berlakon di sini jarang pelakon diperlukan untuk proses script reading, tapi di sana ia satu kemestian.

 

“Walaupun watak saya tidak besar, tetapi saya turut dipanggil untuk menjalani sesi bacaan skrip dua minggu sebelum penggambaran bermula.

 

“Saya tidak berdepan cabaran besar sepanjang penggambaran, cuma babak saya banyak bersama pelawak terkenal Indonesia, iaitu Kemal Palevi (Amran) dan Tanta Ginting (Hartono), membuatkan saya rasa hendak ketawa.

 

“Tapi mereka juga banyak membantu saya dan ada berkongsi pengalaman mereka sebelum ini bersama saya termasuklah Reza Rahadian,” ujarnya.

 

Filem air mata

 

Sementara itu, penulis yang berpeluang menyaksikan sekuel Syurga Yang Tak Dirindukan 2, yang kali ini diarahkan oleh Hanung Bramantyo menyifatkan naskhah kali ini filem air mata.

 

Masih mengekalkan tiga pelakon utama iaitu Raline Shah sebagai Mei Rose, Fedi Nuril (Prasetya) dan Laudya Cynthia Bella (Arini), filem ini turut menampilkan Reza Rahadian bersama Nora.

 

Secara keseluruhannya, penulis berasakan team produksi berjaya mengekalkan skrip kuat, namun tidak dapat menandingi filem pertamanya.

 

Bagaimanapun sinematografi di sekitar Budapest, Hungary banyak membantu mencantikkan perjalanan filem ini, di samping lakonan mantap semua pelakon terlibat.

 

Cuma sayangnya, penulis mengharapkan karakter Nora di dalam filem ini lebih besar daripada apa yang diberikan kepadanya.

 

Biarpun Hanung tidak dapat mengekalkan momentum kesedihan seperti filem pertama, namun sekuel ini akan tetap membuatkan air mata penonton berjuraian dan mungkin ada yang akan menangis tersedu-sedan.

 

Jadi bagi anda yang ingin ketahui kesudahan kisah cinta Pras-Arini-Mei Rose, jangan lupa saksikan filem terbitan MD Pictures dan edaran Astro Shaw ini di pawagam.

 

Dan nasihat penulis, tonton filem pertama sebelum saksikan filem sekuel Syurga Yang Tak Dirindukan 2.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.