Muallaf Tawar Teksi Tambang 10 Sen

SEMENYIH ― Seorang muallaf mengenakan bayaran tambang 10 sen menghantar golongan kurang berkemampuan ke hospital untuk rawatan.

 

Elvan Chan Abdullah, 34,menggunakan kereta Kia Spectra miliknya yang berusia lebih 10 tahun, berkhidmat di sekitar Kajang, Bangi dan Semenyih,  lapor Metro.

 

“Setakat ini sudah lebih 50 pelanggan menggunakan perkhidmatan saya. Kebanyakan mereka daripada keluarga miskin dan tidak mempunyai pengangkutan sendiri,” katanya yang sudah sebulan menawarkan perkhidmatan sedemikian.

 

Meski hanya meletakkan harga 10 sen, namun ada penumpang yang membayar lebih kepadanya.

 

“Biarpun mereka susah namun tetap menghulurkan tambang lebih sekadar kemampuan mereka, biarpun sudah dijelaskan hanya bayar 10 sen,” katanya.

 

Mendapat sambutan hangat, Elvan berhasrat mendapatkan kenderaan lebih besar seperti van bagi meluaskan perkhidmatannya.

 

Elvan turut bersyukur kerana keretanya tidak pernah rosak teruk sepanjang mengambil pelanggan.

 

“Kereta yang digunakan sekarang hanya boleh memuatkan empat penumpang. Sedih kerana kadang-kadang terpaksa menolak permintaan pelanggan.

 

“Setakat ini saya hanya ambil tiga penumpang sehari dan yang betul-betul memerlukan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.