Kim Jong-Nam Mati Di Tangan Pembunuh Amatur, Kata Bekas Perisik Korea Utara

TOKYO – Bekas perisik wanita Korea Utara, Kim Hyon-Hui mendakwa wanita yang membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Nam merupakan seorang amatur.

 

Hyon-hui yang pernah melancar serangan bom terhadap pesawat syarikat Korean Air pada tahun 1987 memberitahu akhbar Mainichi di sini, berdasarkan tindak tanduk suspek, amat jelas mereka tidak pernah mendapat latihan rapi.

 

“Saya merasa ragu-ragu terhadap mereka. Mereka seperti tidak pernah mendapat latihan dan pendidikan psikologi dan fizikal di Korea Utara,” katanya dalam temu bual bertulis dengan akhbar tersebut.

 

Bekas perisik itu juga menegaskan, jika wanita terbabit mendakwa dipergunakan untuk gurauan seperti mana yang dilaporkan, mereka tidak akan melarikan diri.

 

Dia juga menyatakan pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan sambutan ulang tahun kelahiran bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Il yang juga bapa Jong-Nam dan pemimpin negara itu sekarang, Kim Jong-Un pada 16 Februari lalu dan kematian sepupu Jong-Il, Lee Han-Young yang ditembak mati pada 15 Februari 1997.

 

Sementara itu, seorang pegawai Ketua-Ketua Gabungan Pemimpin Tentera (JCS) Seoul berkata, Korea Selatan mungkin akan mengumumkan kematian Jong-Nam melalui pembesar suara di sempadan negaranya dengan Korea Utara untuk makluman tentera negara komunis itu dan penduduk yang tinggal di sempadan berkenaan.

 

Katanya, Korea Selatan kini bersiap sedia pada tahap tertinggi berhubung keselamatan negara itu sejak kes pembunuhan Jong-Nam dan menyifatkannya sebagai serius.

 

“Jika punca kematian abang Jong-Un diumumkan secara rasmi oleh kerajaan Malaysia kami akan mengumumkannya menerusi pembesar suara di sempadan,” katanya menerusi laporan portal Dailymail yang memetik Agensi Berita Yonhap.

 

Beliau turut menambah, tentera Korea Selatan telah me­ngukuhkan perkongsian perisikan tentera dan meningkatkan pengawasan serta keupayaan pertahanan sejak kes pembunuhan itu.

 

Negara itu mula membuat pe­ngumuman menerusi pembesar suara di sempadan pada bulan Ogos 2015 selepas anggota tenteranya terkena periuk api di zon bebas tentera (DMZ) dan pada masa yang sama, Korea Utara turut mengancam akan memusnahkan pembesar suara ber­kenaan. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.