Video : Himpunan 355 Salah, Bermotifkan Politik, Kata Dr Mahathir

CHERAS – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad terus membidas PAS, kali ini melabelkan Himpunan 355 anjuran parti itu semalam sebagai berbaur politik dan untuk memancing undi.

 

Pada masa sama, beliau berkata PPBM tetap memberikan PAS tempoh sebulan untuk memutuskan samada mahu mengikat kerjasama dengannya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

 

Ditanya mengenai perhimpunan anjuran PAS semalam untuk menggembeling sokongan awam bagi menambah kuasa Mahkamah Syariah, Dr Mahathir yakin program itu lebih untuk meraih keuntungan politik.

 

“Dalam Islam niat amat penting. Kalau niat nak menang pilihan raya, itu dah salah. Tapi kalau niat nak majukan Islam, baik. Tapi nampaknya niat (himpunan) untuk politik, jadi dah salah,” kata Mahathir.

 

Mahathir sekali lagi mengitar semula sebab beliau menolak usul penambahan kuasa-kuasa Mahkamah Syariah yang merangkumi hukuman penjara sehingga 30 tahun, denda RM100,000 dan sebatan syariah tidak lebih 100 kali.

 

Usul itu yang di bawa oleh PAS dan disokong oleh Umno akan dibahaskan di Parlimen bulan depan.

 

“Islam menyuruh kita berlaku adil kepada semua.. Ini nak sebat 100 kali, mati lah. Kalau masuk penjara 30 tahun, habislah riwayat dia. Ini bukan cara Islam.

 

“Cara Islam adalah adil dan bertimbang rasa,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina di sini, hari ini.

 

Beberapa pemimpin Umno dan PAS sebelum ini menjelaskan bahawa sebatan syariah jauh berbeza dengan sebatan sivil.

 

Syarat sebatan Syariah tidak boleh mencederakan iaitu kaedah hayunan sebatan seolah-olah meletakkan buku di bawah ketiak yang tidak boleh jatuh tatkala menghayun.

 

Justeru 100 kali sebatan Syariah tidak sama dengan sekali sebatan Sivil yang boleh mencederakan.

 

Dr Mahathir juga mendakwa bahawa “dalam satu negara kita (harus) pakai satu undang-undang yang sama bagi semua rakyat,” meskipun perundangan syariah untuk umat Islam wujud sepanjang 23 tahun pemerintahan beliau.

 

Dalam perkembangan berasingan, Dr Mahathir berkata PPBM tetap akan memberikan masa kepada PAS untuk memuktamadkan kerjasama dengan partinya.

 

“Kita bagi satu bulan, kalau mereka tak mahu memikir, kita bagi satu bulan juga. Mungkin pada hujung bulan mereka tukar fikiran. Tapi pecah-belahkan orang Islam adalah dilarang oleh agama,” ujarnya lagi tanpa mengulas lanjut.

 

PAS dan PPBM kini dalam rundingan untuk mencapai kata sepakat bersabit kerjasama menghadapi PRU14 akan datang.

 

Kedua-dua parti itu sudah mengadakan pertemuan pada 1 Februari lalu, bagaimanapun sehingga kini tiada kata putus bersabit rundingan antara kedua-dua parti.

 

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagaimanapun membayangkan kerjasama sedemikian tidak boleh menjadi realiti sekirannya PPBM terus “berkawan” dengan DAP dan Amanah, dua musuh politik utama PAS. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.