2 Cedera Dipijak Gajah Liar

TAIPING – Dua parah akibat diserang dan dipijak seekor gajah liar dalam kejadian di tepi Jalan Raya Timur Barat (JRTB), berdekatan Pulau Banding, dekat Gerik, petang semalam.

 

Dalam kejadian antara jam 5.30 hingga 6 petang, kedua-dua mangsa, Poh Keat Chye, 47, dari Jelutong, Pulau Pinang, dan seorang lagi wanita warga Indonesia dikenali sebagai Erdis, patah tulang rusuk.

 

Abang Keat Chye, Robert Fo, 60, berkata ketika kejadian adiknya yang mengendalikan perniagaan barangan makanan kesihatan dalam perjalanan dari Terengganu ke Pulau Pinang untuk menghantar Erdis yang juga rakan kongsi perniagaannya pulang ke Indonesia.

 

“Kedua-dua mereka mengalami sakit perut dan berhenti di tepi jalan untuk ke satu kawasan lapang untuk membuang air besar tetapi diserang dan dipijak gajah berkenaan sebelum haiwan itu masuk semula ke dalam semak,” katanya ketika ditemui di Hospital Taiping (HT) di sini hari ini.

 

Fo berkata, adiknya kemudian memandu keretanya dalam keadaan kesakitan sejauh kira-kira 50 kilometer untuk pergi mendapatkan rawatan di Hospital Gerik, namun adiknya itu dan Erdis kemudian dirujuk ke HT untuk rawatan lanjut.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baru negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon yang melawat mangsa di HT berkata, doktor pakar memaklumkan Keat Chye patah tulang rusuk kiri dan pendarahan dalam hati, manakala Erdis cedera tulang rusuk kanan.

 

“Kedua-duanya mereka kini dalam keadaan stabil dan pihak HT akan memberikan rapi kepada mereka,” katanya.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.