‘Masyarakat Melayu Suka Memberikan Komentar Tanpa Ilmu’

Oleh: Selamat Amirul Bakir

 

SURAT UNTUK RAKYAT MALAYSIA

 

Assalamualaikum wbt.

 

Aku melihat rakyat Malaysia kini sudah dimomokkan dengan rasa tidak bersyukur dengan apa yang ada.

 

Setiap hari bermaharajalela mengkritik, mengutuk, mencaci apa sahaja yang dilakukan oleh pihak Kerajaan. Barangkali si pemomok itu sudah berjaya dengan agenda momokannya.

 

Sejuta satu qada’ dan qadar yang berlaku kini tidak lagi dipercayai datangnya dari Tuhan, tetapi datang dari seorang makhluk bernama Najib Razak.

 

Mereka mempercayai ilham kebaikan dan keburukan ini datangnya dari tangan dan keringat makhluk ini. Kekayaan, kemiskinan, kesusahan, malahan kejadian malang adalah hasil tangan makhluk bernama Najib Razak ini.

 

Masyarakat Melayu yang beragama Islam kini suka memberi komentar atas perkara yang mereka tidak punyai ilmu. Semata-mata kerana meraikan nikmat kebebasan bersuara tanpa sekatan di alam media maya.

 

Tidak diperdulikan lagi batasan adab dan tatasusila malah keinginan untuk mencarut tidak lagi menjadi dilema moral kepada individu. Carutlah engkau kerana engkau bebas!

 

Pada dasar hakikatnya, masyarakat Malaysia sudah terpesong. Air sebagai nikmat dikatakan api yang mencederakan. Terlayang seketika pemikiran dan akal atas tiupan angin emosi.

 

Masyarakat Malaysia kini gemar melihat apa yang ada pada pinggan nasi orang lain. Sekiranya pinggan nasi mereka hanyalah nasi putih dan garam, maka mereka berasa hasrat dengki kepada pinggan orang lain yang berisi lauk paui.

 

Namun, apa yang kereka ada adalah setimpal dengan usaha dikerjakan. Maka mereka mula memfitnah orang lain kerana pinggan nasi mereka tidak sama. Mereka mahu apa yang orang lain ada, dan orang lain pula perlu ada apa yang mereka ada.

 

Inilah angin pencetus kegagalan moral dan etika yang dihembus oleh pakatan pembangkang di Malaysia.

 

Ya! Bangunlah wahai mereka yang tidak mempunyai kemewahan untuk memberontak membakar segala keupayaan yang ada agar pinggan mereka dipenuhi lauk-pauk yang begitu mewah seperti mana dijanjikan oleh corong suara pakatan pembangkang.

 

Maka mereka yang mempunyai lauk-pauk yang sudah mewah juga bangkit, kerana selalu dimomokkan tidak cukup, tidak cukup, tidak cukup!

 

Perjanjian akan tiada kuasa lain melainkan Tuhan telah diceroboh! Kamu percaya bahawa kuasa yang menahan kamu dari mendapat lauk-pauk yang mewah adalah daripada tangan seorang makhluk bernama Najib Razak.

 

Pakatan Pembangkang berjaya menghasut kamu untuk mempercayai apa sahaja yang mereka katakan. Bila mereka kata Tabung Haji akan lunyai, kamu percaya. Tetapi bila terbukti akan kepalsuan dakwaan mereka, mengapa kamu tidak bangkit menyelar dan mencerca perbuatan hina tersebut?

 

Kerana kamu bacul!

 

Tidak mahu menunjukkan perasaan kamu sebagaimana kamu membenci makhluk bernama Najib Razak yang sudah terang-terangan tidak mempunyai tangan dalam menetapkan hasil rezeki kamu!

 

Kamu diam. Tersipu malu dan akhirnya melupakan segala omongan kosong dan fitmah yang benar tersebut! Mencari alasan, demi alasan bagi membela pendirian kamu yang terdahulunya sudahpun terbukti sebagai satu fitnah besar!

 

Dan sekarang kamu mengalihkan pandangan kamu kepada perbualan-perbualan kecil. Isu Bangladesh kamu mahu marah, isu Nepal meraba menjadi perbualan pokok kamu kerana hendak mengalihkan perhatian kamu dari pembuktian kepada fitnah besar!

 

Maka bermainlah kamu, berbuailah kamu, dengan omongan-omongan pakatan pembangkang.

 

Selamat Amirul Bakir,
Rakyat Malaysia Seumur Hidup

 

 

 

Nota:

 

* Surat terbuka ini telah dikirimkan oleh pembaca kepada Meja Editorial, ia merupakan pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mewakili pandangan SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.