Kerajaan Tangguhkan Pengambilan Pekerja Asing – TPM

SAMARAHAN – Kerajaan hari ini mengumumkan penangguhan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber termasuk Bangladesh.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penangguhan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan meneliti semula keputusan terhadap pembayaran levi dua tahap yang diumumkan sebelum ini.

 

“Penangguhan ini akan dilaksanakan sehingga kerajaan berpuashati terhadap keperluan sebenar (pekerja asing) yang diperlukan oleh pihak industri.

 

“Dalam tempoh penangguhan ini, tumpuan kita hanyalah kepada pekerja asing sedia ada dan kita akan memastikan warga asing yang berada di negara ini tanpa dokumen akan diambil tindakan termasuk dihalau,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Tentera Bersama Timbalan Perdana Menteri di Kem Muara Tuang, di sini, pagi ini.

 

Sehubungan itu, katanya, belia negara ini digalakkan supaya mengambil alih tempat pekerja asing dan berada sebagai tenaga kerja utama untuk membangunkan ekonomi negara.

 

“Kerajaan menyeru supaya semua majikan mengambil anak tempatan sebagai pekerja mereka,” katanya yang turut mendapat sorakan dan tepukan kira-kira 1,000 anggota tentera.

 

Selain itu, katanya, penguatkuasaan besar-besaran akan dilaksanakan untuk memastikan tiada pengambilan pekerja asing baharu selain mengesan mereka yang bekerja di negara ini secara haram.

 

Ahmad Zahid tiba di kem yang menempatkan Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Markas Divisyen Pertama Infantri TDM itu pada jam 10.30 pagi.

 

Turut mengiringi kunjungan beliau, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Johari Baharom dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Mohd Zain serta dua Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat.

 

Ketika berucap pada majlis berkenaan, beliau mengumumkan sumbangan kerajaan untuk Tabung Kebajikan Rejimen (TKR) untuk semua unit tentera di bawah naungan Markas Pemerintahan Timur.

 

Tanpa menjelaskan jumlah sumbangan itu, beliau berkata ia akan diagihkan kepada Kementerian Pertahanan dan Panglima ATM akan memastikan ia sampai kepada semua unit tentera di negeri ini.

 

“Saya bukan lagi Menteri Pertahanan, jadi saya hanya boleh mengumumkan peruntukan untuk TKR sebagai sumbangan kebajikan untuk semua anggota tentera di sini,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.