Ganja Tetap Tertakluk Bawah Akta Dadah Berbahaya

KUALA LUMPUR – Kerajaan tetap dengan pendirian bahawa pengambilan ganja adalah salah di sisi undang-undang sebagaimana yang tertakluk di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan sehubungan itu berkata, cadangan salah seorang anggota Parlimen Belia supaya ganja tidak dianggap sebagai dadah, tidak akan dibawa ke peringkat kementerian, apatah lagi ke peringkat Kabinet.

 

“Kerajaan tidak akan membenarkan ganja dikeluarkan daripada kumpulan dadah. Ganja tetap di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ia muktamad.

 

“Kita tidak boleh bandingkan negara kita dengan negara lain, kita ada pendirian sendiri. Pengambilan ganja ini tidak selari dengan budaya kita,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen selepas tamat sesi sidang Parlimen Belia di sini, semalam.

 

Wakil Selangor, Muhamad Ridhwan Muhamad Rusli pada sesi sidang Parlimen Belia sebelum ini mencadangkan supaya kesalahan pengambilan ganja dikaji semula kerana golongan muda tidak menganggapnya sebagai dadah.

 

Mangulas lanjut, Saravanan berkata, perkara itu tidak perlu diperbesarkan kerana setiap individu mempunyai pandangan masing-masing.

 

Dalam pada itu, mengulas mengenai persidangan Parlimen Belia kali ini, Saravanan berkata, setiap perwakilan mula menunjukkan kematangan dalam sesi perbahasan yang disertai masing-masing.

 

Persidangan kali ini juga, kata beliau, membuktikan pemilihan anggota Parlimen Belia tidak dibuat secara pilih kasih kerana bukan semua usul yang dibahaskan dipersetujui sebulat suara.

 

“Mereka telah berbincang secara mendalam isu-isu yang dihadapi golongan belia, dan cadangan mereka itu diterima secara positif oleh kementerian serta agensi-agensi berkaitan dan akan dibawa ke Kabinet,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.