1.5 Juta Bangladesh Untuk Bekerja Di 139 Negara Termasuk Malaysia

PUTRAJAYA – Angka 1.5 juta pekerja Bangladesh yang disebut-sebut sebelum ini sebenarnya adalah jumlah tenaga kerja negara itu yang berdaftar dengan Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh untuk dihantar ke 139 negara seluruh dunia.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata, angka tersebut bukannya jumlah kemasukan pekerja asing Bangladesh ke negara ini kerana mengikut polisi Malaysia, sebarang kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini adalah berdasarkan kepada permintaan industri tempatan.

 

Katanya, memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai oleh Malaysia dan Bangladesh semalam tidak menyatakan sebarang angka spesifik berhubung bilangan pekerja yang akan dibawa masuk negara ini.

 

“MOU ini tidak menyatakan tentang jumlah 1.5 juta pekerja Bangladesh tetapi bertujuan untuk mempraktikkan mekanisme pengawalan baharu dalam memastikan kemasukan pekerja asing tersebut adalah berdasarkan permintaan industri.

 

“Langkah tersebut adalah bagi mengawal had peruntukan 15 peratus bagi keseluruhan tenaga kerja pekerja di negara ini yang ditentukan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu 2.3 juta pekerja asing daripada 15.3 juta tenaga keseluruhan negara,” katanya dalam sidang akhbar khas mengenai pekerja asing di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, Richard berkata, jumlah keseluruhan pekerja asing berdaftar di negara ini sehingga Disember tahun lalu adalah sebanyak 2,135,035 dengan nisbah jumlah pekerja asing tanpa izin (PATI) adalah lapan orang bagi setiap 10 pekerja asing berdaftar.

 

Katanya, jumlah pekerja Bangladesh di negara ini adalah sebanyak 282,287 termasuk 148 pekerja dari Sarawak yang merangkumi 109,743 pekerja bagi sektor pembinaan, 104,311 (pengeluaran), 32,609 (perkhidmatan), 21,125 (perladangan) dan 14,371 (pertanian). – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.