Taktik Sindiket Tarik Kaki Judi

Kuala Lumpur – Sindiket perjudian haram yang dahulu menggunakan premis sebagai pusat perjudian kini mengubah modus operandi dengan menghantar risalah ke rumah-rumah dan juga di kereta.

 

Berdasarkan pemerhatian The Rakyat Post, risalah itu sering di hantar ke kawasan perumahan dan juga di tempat letak kereta bagi menarik orang ramai menyertai aktiviti perjudian yang dianjurkan mereka.

 

Berbekalkan kata-kata manis yang menjanjikan pulangan yang lumayan, ramai yang terpedaya dengan taktik yang digunakan mereka.

 

Menerusi sindiket terbaru ini, kaki judi tidak perlu pergi ke premis perjudian malah tidak perlu bersua muka dengan penganjur sebaliknya hanya berhubung menerusi telefon.

 

Berdasarkan risikan, sebuah laman sesawang sindiket perjudian, CHAMPION188, bertindak sebagai laman yang memaparkan nombor yang menang dalam perjudian.

 

Modus operandi-nya ialah menghantar risalah ke perumahan, dan kaki judi kemudian akan menghubungi mereka untuk mendaftar dan memilih nombor ekor dan keputusannya akan keluar dalam laman sesawang berkenaan.

 

Selain itu, sindiket ramalan nombor ekor juga menggunakan modus operandi yang hampir sama dengan menghantar risalah ke kawasan perumahan.

 

Antaranya, risalah yang bertajuk “Wat Si Nakhon”, menjanjikan peluang keemasan untuk orang ramai mengubah kehidupan mereka yang kini tersepit dalam kegawatan ekonomi.

 

Sindiket itu menggunakan slogan “Peluang tidak akan datang bergolek, segalanya bergantung kepada kita untuk menyelesaikannya”.

 

Berdasarkan pemantauan The Rakyat Post, individu yang mahu mendapatkan ramalan nombor ekor perlu menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) untuk memberikan nama penuh berserta tarikh lahir.

 

Sejurus selepas itu, seorang lelaki yang menggelar dirinya sebagai ‘Tok’ akan menghubungi individu itu semula untuk memberikan nombor ekor yang dikatakan akan memberikan tuah dan untung kepada pemilik tarikh lahir itu.

 

‘Tok’ juga akan memberitahu waktu yang paling sesuai sama ada pagi, petang mahupun malam untuk membeli nombor ekor kerana dakwanya nasib bersangkut paut dengan waktu.

 

Jika salah waktu, katanya, pemilik tarikh lahir itu akan kehilangan tuah dan nombor yang diberikan tidak akan ‘mengena’.

 

Individu yang meminta ramalan nombor ekor perlu memasukkan sejumlah wang ke akaun bank ‘Tok’ sebagai pengeras atas pertolongannya mendapatkan tuah.

 

Selain daripada risalah, The Rakyat Post juga mengenalpasti Facebook juga dijadikan sebagai medium bagi mendapatkan ramalan nombor ekor.

 

Akaun Facebook yang menggunakan nama ‘Tok Moh Nombor’ yang mempunyai jumlah pengikut lebih 23,000 orang menawarkan khidmat menilik nasib, meramal nombor ekor dan turut menjual ubat pengasih yang diberi nama Minyak Pengasih Puteri 9 Malam.

 

Pemilik akaun itu akan memberikan kata kunci kepada orang ramai seperti ‘PM NO’ untuk menilik nombor, ‘BERMINAT PROSES’ untuk individu yang mahu menggunakan barang berkhadam.

 

‘PM MINYAK’ untuk mendapatkan minyak pengasih sebagai pelaris, ‘IBU DUIT’ bagi memiliki ibu duit sendiri dan ‘PM DELIMA’ bagi mendapatkan panca delima.

 

Pemilik akaun yang menggelar dirinya ‘Tok’ hanya akan melakukan proses menilik nasib pada malam Jumaat dan penyertaan limit kepada 30 orang sahaja.

 

Berdasarkan pemerhatian, ramai pengguna laman sosial daripada kalangan umat Islam terjebak dengan sindiket itu dan mempercayai perkara karut boleh memberikan mereka kekayaan. – The Rakyat Post

One thought on “Taktik Sindiket Tarik Kaki Judi

  • April 26, 2015 at 2:50 am
    Permalink

    Hati2 dgn tok sy baru kena tipu..skg jadi kes polis..tak caya 20k hilang blm kira habis..pusat pahang dan thailand tak caya boleh call saya 0195328240 AMARAN:YANG BELUM KENA JANGAN CUBA..JANGAN CUBA..TERLAJAK PERAHU BOLEH DI TARIK TERLAJAK PERBUATAN SIA_SIA JADI NYA KES APRIL 2015

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.