PM, TPM Hadir Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA, Gerakan

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menghadiri majlis Rumah Terbuka MCA bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma MCA di sini.

 

Najib yang berbaju batik merah, diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba ke majlis itu pada kira-kira pukul 9.45 pagi.

 

Ketibaan mereka disambut Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai serta barisan kepimpinan parti itu, tarian singa dan sorakan hadirin yang teruja melihat kelibat Perdana Menteri.

 

Yang turut hadir Duta Khas (Infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu; Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel; Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dan Presiden PPP, Tan Sri M. Kayveas serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

 

Sebaik tiba, Najib yang juga Pengerusi BN dan Muhyiddin diiringi ke pentas untuk menggaul yee sang, makanan tradisi ketika sambutan perayaan itu yang melambangkan kemewahan, kemakmuran dan kesuburan.

 

Setelah meluangkan masa lebih satu jam, Najib beredar daripada majlis, sambil bersalaman dengan orang ramai.

 

Para tetamu dihiburkan dengan persembahan kebudayaan Cina dan 1Malaysia, selain menikmati pelbagai juadah seperti sate, yee sang, teh cina, aneka kuih raya dan limau mandarin.

 

Najib dan Muhyiddin kemudiannya menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Menara PGRM di sini. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.