PM Australia Nafi Ancam Indonesia

Sydney – Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menafikan mengancam Indonesia mengenai nasib dua rakyat Australia yang dikenakan hukuman mati, tetapi menegaskan beliau hanya menunjukkan keakraban hubungan antara jiran serantau pada Khamis.

 

Apabila ketegangan semakin memuncak dalam usaha untuk menyelamatkan Andrew Chan dan Myuran Sukumaran, Abbott pada Rabu berkata, Jakarta harus ingat kembali bantuan kewangan yang dibekalkan selepas negara tersebut dilanda tsunami yang dahsyat pada tahun 2004 yang lalu.

 

Beliau menggesa Indonesia untuk memberikan balasan apabila Australia memerlukannya, tetapi ulasan tersebut diterima dengan tenang oleh Jakarta, dengan Kementerian Luar Indonesia memberi amaran balas bahawa ‘ancaman bukan sebahagian daripada bahasa diplomatik’.

 

“Semalam saya telah merujuk kepada kekuatan yang jelas tentang hubungan antara Indonesia dan Australia dan apa yang kita lakukan kepada Indonesia pada masa lalu,” Abbott berkata apabila ditekan sama ada komen beliau telah dimaksudkan sebagai satu ancaman.

 

“Ia adalah penting kami mempamerkan kekuatan dan keakraban hubungan, dan itulah apa yang saya lakukan.”

 

Hubungan antara jiran serantau tersebut baru sahaja pulih setelah mengalami krisis pada tahun 2014.

 

Chan, 31, dan Sukumaran, 33, yang terlibat dengan pengedaran dadah bakal menjadi antara kumpulan tahanan seterusnya yang akan dihukum oleh skuad penembak di Indonesia.

 

Mereka telah diberikan sedikit harapan minggu ini apabila pemindahan mereka ke penjara pulau di mana mereka akan ditembak ditangguhkan.

 

Walaupun begitu, Indonesia menegaskan pelaksanaan hukuman mati tersebut akan tetap dilakukan, yang turut melibatkan rakyat dari Perancis, Ghana, Nigeria dan Brazil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.