Penyanyi Getaran Meninggal Dunia

Kuala Lumpur – Penyanyi era 80-an Famiza Zulkifli, meninggal dunia akibat komplikasi jantung, malam tadi.

 

Menurut laporan Berita Harian,  penyanyi itu yang lebih dikenali dengan nama Famieza, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.

 

Allahyarham berusia 42 tahun.

 

Nama Famieza melonjak naik dalam persada seni suara pada tahun 1989 apabila album genre r&b bertajuk Getaran yang agak baru buat masa itu, mendapat tempat di hati peminat.

 

Kematiannya mengejutkan ramai peminatnya yang mula berkongsi ucapan takziah di Facebooknya.

 

Sehingga semalam, Famieza yang aktif dalam Facebook, memuat naik posting terakhir gambar dipercayai anak lelakinya sedang memanah.

 

“Selepas Omar, kini Muhammad pula berminat (dalam memanah) Alhamdulillah, gembira!” katanya dalam kapsyen gambar itu.

 

Penulis lirik dan komposer, Cahaya Pena yang menulis lirik untuk salah satu lagu Famieza, Doa Seorang Remaja berkata dia terperanjat mendapat berita mengenai kematian penyanyi itu dari sahabat komposer, Johan Nawawi pagi tadi.

 

Lagu Doa Seorang Remaja dicipta oleh Allahyarham Adam Ahmad.

 

“Allahyarham tidak mempunyai masalah bekerja dengan komposer lagi waktu itu. Saya masih ingat dia seorang remaja yang riang dan mempunyai suara yang baik,” kata Cahaya Pena atau nama sebenarnya Azmi Abdul Rahman ketika ditanya mengenai pengalaman bekerja dengan Famieza untuk album Getaran.

 

“Dia seorang yang tidak sombong, rendah diri dan baik. Dia juga seorang penyanyi yang berdisiplin,” katanya.

 

Selepas mendiamkan diri dalam bidang seni suara, Famieza dikatakan membuka syarikat perniagaannya sendiri dan bertindak sebagai pengarah Muslimah Manufacturing Sdn Bhd.

 

Di laman instagramnya, dia berkongsi maklumat syarikat yang menjadi pengeluar dan pengeksport produk halal untuk kecantikan, penjagaan kulit dan rumah.

 

Menurut Star Online, jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seri Muda di Gombak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.