Pahang Tunggu Hukuman Daripada FAM

Kuala Lumpur – Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menyuarakan kekecewaan mereka ke atas tindakan segelintir penyokong pasukan Pahang yang membakar suar selepas perlawanan menentang Selangor baru-baru ini.

 

PBNP telah menegaskan bahawa mereka telah memberi amaran kepada peminat untuk tidak melakukan perkara tersebut, berikutan bertentangan dengan peraturan yang diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang telah mengeluarkan arahan pengharaman pembakaran suar di stadium.

 

Menurut laporan Utusan Malaysia yang dipetik daripada portal Goal.com, wakil PBNP Raja Mustafa Shah Raja Jalil berkata, “Setiap kali sebelum perlawanan, kami meminta peminat untuk tidak membawa barang-barang yang dilarang, tetapi ia masih berlaku.

 

“Jika kita mahu bercakap tentang keselamatan, kami telah melakukan sedaya mungkin untuk menghalang perkara ini berlaku di stadium, tetapi masih terdapat peminat degil. Kami tidak tahu bagaimana mereka berjaya menyelinap barang-barang tersebut. “

 

“Tiada apa yang boleh PBNP lakukan sekarang kecuali menunggu hukuman dari FAM,” tambahnya lagi.

 

Menurutnya, PBNP pasrah dengan apa sahaja hukuman yang bakal dikenakan kerana persatuan tersebut perlu akur kepada peraturan yang telah ditetapkan.

 

Berdasarkan rekod lampau, PBNP terpaksa membayar sekitar RM70,000 denda kepada FAM kerana peminat mereka membakar suar dan mercun di Stadium Darul Makmur, pada tahun lalu.

 

Meskipun insiden pembakaran suar tersebut berlaku selepas tamat 90 minit perlawanan, ia tidak sepatutnya berlaku ketika akan melibatkan imej pasukan negeri atau kelab tuan rumah , sekaligus mengundang risiko didenda oleh FAM.

 

Insiden ini merupakan yang pertama kali berlaku bagi tahun 2015. Mengikut undang-undang yang diperuntukan oleh FAM, setiap satu suar yang dibakar akan dikenakan denda sebanyak RM5,000.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.