Nancy Tak Setuju Shafee Jelajah Negara Terang Kes Liwat, Tak Perlu Lebih-Lebih

Kuala Lumpur – Jika sebelum ini pemimpin pembangkang yang membantah rancangan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menjelajah seluruh negara bercakap mengenai kes mahkamah Datuk Seri Anwar Ibrahim, terbaru seorang pemimpin kerajaan persekutuan juga menyuarakan ketidakpuasan hatinya.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Nancy Shukri hari ini mencadangkan peguam yang dilantik mengetuai pendakwaan kes Liwat II Anwar itu mengadakan perdebatan terbuka dengan salah satu pengkritik utamanya iaitu Majlis Peguam.

 

Nancy yang bertanggungjawab di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM itu berkata, beliau secara peribadi tidak setuju cadangan Shafee untuk menyertai jelajah itu yang diumumkan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada satu forum Selasa lalu.

 

“Biar orang ramai dengar mereka (berdebat). Lakukan sekali dan cukuplah. Kemudian Shafee tidak perlu pergi ke sana sini lagi,” katanya kepada media pada sambutan Tahun Baharu Cina Sarawak United People’s Party (SUPP) di Kuching, Sarawak hari ini.

 

“Saya lebih setuju kita (kerajaan persekutuan) tidak perlu lakukannya lebih-lebih sangat. Nampak tak elok (untuk kerajaan dan Shafee).”

 

Nancy berkata, tindakan Shafee menyertai program memberi penerangan mengenai kes Anwar yang sudah diputuskan Mahkamah Persekutuan itu mungkin akan mendatangkan kesan yang sebaliknya di mana “orang ramai mungkin akan bersimpati pula dengan Anwar.”

 

Bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, tidak pernah terjadi seorang pendakwa raya menyerang tertuduh selepas mahkamah selesai menjatuhkan hukuman.

 

Katanya, ia tidak berniat baik dan tidak wajar dilakukan kerana Anwar yang kini berada di penjara tidak dapat mempertahankan dirinya.

 

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata, tindakan Shafee yang terus-terusan menyerang Anwar itu hanya menunjukkan beliau seolah-olah “tukang pukul” bagi pihak Umno yang berdendam.

 

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengatakan program jelajah itu membahayakan masa depan negara sementara Pemuda PKR mengatakan ia cubaan terdesak Umno memenangi kepercayaan rakyat.

 

Menerangkan keputusan Shafee itu, Nancy berkata: “Shafee tidak mahu lakukan. Kerajaan tidak minta beliau melakukannya. Dia melakukannya kerana terdapat permintaan daripada badan bukan kerajaan (NGO).

 

“Rakyat mahu dengar fakta kes daripadanya. Mereka tidak boleh membaca penghakiman itu sebab ia terlalu panjang.”

 

Katanya, mereka juga tidak dapat mengetahui fakta sebenar dengan membaca apa yang tertulis di media sosial, terutama yang ditulis golongan pro pembangkang.

 

Nancy juga berkata, kerajaan berada di kedudukan yang sukar kerana ia sesuatu yang di luar kawalan sekiranya NGO mahu Shafee berucap.

 

“Kita (kerajaan) tak boleh halang dia. Dia bertanggungjawab memberitahu rakyat apa sebenarnya terjadi. Selama ini, orang meraguinya kerana apa yang dilakukannya.

 

“Dia pun dalam keadaan yang sukar – nak buat atau tidak.”

One thought on “Nancy Tak Setuju Shafee Jelajah Negara Terang Kes Liwat, Tak Perlu Lebih-Lebih

  • February 20, 2015 at 4:34 pm
    Permalink

    it is important for the prosecutor to give a public talk as the supporter of Anuar and his family are still making false claim and falsely informing the public on the process of the case

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.