Lelaki Maut Kereta Langgar Tiang

Kuala Lumpur – Seorang lelaki maut setelah kereta yang dipandunya merempuh tiang papan tanda di Jalan Sungai Besi di sini pagi ini.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa yang berbangsa Kadazan, Johnny Masayu, 33, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

 

Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

 

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintenden S.Markandan berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca akibat kereta jenis Perodua Viva yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang berkenaan.

 

“Mangsa yang berasal dari Tuaran, Sabah disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang berada di lokasi,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post pada khamis.

 

Markandan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.