Kereta Dua Wakil Rakyat DAP Kena Pecah

Seremban – Dua kereta milik wakil rakyat dari DAP dipecah individu tidak dikenali dalam satu kejadian di kawasan letak kereta sebuah restoran di Rahang di sini, malam kelmarin.

 

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Adun Repah, S Veerapan dan Adun Senawang, P Gunasekaran, sedang menikmati makan malam di restoran terbabit bersama beberapa lagi Adun DAP negeri ini.

 

Veerapan kerugian hampir RM2,000 apabila komputer riba yang ditinggalkan di dalam kereta jenis Honda CRV itu dilarikan pencuri, manakala Gunasekaran rugi kira-kira RM200 apabila cermin sisi belakang kereta jenis Mercedes Benz miliknya pecah.

 

Veerapan memberitahu, dia menyedari cermin keretanya pecah selepas majlis makan malam berakhir.

 

“Saya terperanjat melihat cermin sisi belakang kanan pecah dan mendapati beg mengandungi komputer riba dalam kereta turut hilang,” katanya.

 

Sementara itu, Gunasekaran berkata, dia bernasib baik kerana tiada barang berharga ditinggalkan dalam keretanya.

 

Saya hanya rugi RM200 kerana terpaksa baiki cermin yang pecah.

 

“Saya tidak pasti siapa lakukan perkara ini. Saya minta polis menyiasat perkara ini,” katanya sambil mengesahkan telah membuat laporan polis. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.