Duta Jepun Mahu Wujudkan ‘Dasar Pandang Ke Malaysia’ Untuk Tingkat Ekonomi

Kuala Lumpur – Dengan ekonomi yang bersedia untuk terus kukuh, Jepun positif perdagangan dua hala dengan Malaysia akan terus berkembang pada tahun ini.

 

Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa berkata Jepun merupakan antara rakan dagang dan pelabur utama Malaysia, selain mempunyai hubungan dua hala yang kukuh.

 

Beliau berkata pada 2014, Jepun antara tiga rakan dagang terbesar Malaysia dan menjadi pelabur asing terbesar di negara ini, terutamanya dalam perkhidmatan moden dan teknologi tinggi.

 

Pemulihan ekonomi Jepun dijangka meningkatkan pengimportan bahan api mineral, termasuk gas asli cecair (LNG) manakala eksport produk keluli dan besi untuk pengeluaran barangan pengguna dan alat ganti kereta juga dijangka meningkat, katanya dalam e-mel kepada Bernama.

 

Miyagawa berkata import Malaysia dari Jepun pada 2014 turun sedikit manakala eksportnya ke Jepun meningkat sebanyak RM3.5 bilion pada 2014.

 

Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan perdagangan antara kedua-dua negara tersebut pada 2014 memihak kepada Malaysia, dengan eksport ke Jepun bernilai RM82.7 bilion berbanding import (dari Jepun) bernilai RM54.7 bilion.

 

Miyagawa berkata statistik Jepun menunjukkan Malaysia meluaskan eksport bahan api mineral seperti minyak mentah dan LNG serta barangan elektrik dan elektronik, manakala barangan utama lain ialah produk kayu dan kimia.

 

Beliau berkata separuh daripada barangan eksport Malaysia ke Jepun pada 2013 ialah LNG, menjadikan Malaysia pengeksport LNG ketiga terbesar ke Jepun.

 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Malaysia menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang pesat melalui Dasar Pandang Ke Timur yang dilaksanakan sejak 1982, ia kini boleh memindahkan pengetahuan ke negara-negara lain di rantau ini.

 

“Ia boleh dinamakan ‘Dasar Pandang Ke Malaysia.’ Jepun sudah tentu akan menyokong langkah ini, misalnya melalui penubuhan universiti Jepun di Malaysia untuk pelajar-pelajar dari negara-negara Asean,” katanya.

 

Sambil memuji atas kejayaan Dasar Pandang Ke Timur, beliau berkata ia melahirkan ramai rakyat Malaysia yang mampu membangunkan kapasiti sains dan teknologi serta meningkatkan produktiviti sistem pengurusan.

 

“Mereka seterusnya menjadi pemangkin dalam menarik penyertaan syarikat-syarikat Jepun (di Malaysia) dengan ketara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.