Anak Nik Aziz Merayu, Pulangkan Barang Yang Diguna Ketika Pengkebumian

Kuala Lumpur – Ahli keluarga bekas menteri besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam merayu orang ramai yang terambil atau tersimpan barang-barang yang diguna semasa majlis pengkebumian beliau Jumaat lalu agar memulangkan barang-barang berkenaan.

 

Barang-barang tersebut berupa selimut putih, kain hitam penutup keranda, toto (tilam nipis) merah kuning dan bantal, kata anak perempuan Allahyarham, Nik Asma’ Salsabila Nik Aziz melalui akaun Facebook beliau dan dilaporkan portal berita rasmi PAS, Harakahdaily, Rabu.

 

“Kami semua setuju ianya adalah bahagian bonda kami, orang yang paling dicintai ayahanda selepas kedua ibu bapanya.

 

“Setiap masa bonda bertanya jika barang-barang tersebut sudah dijumpai.

 

“Sekiranya ada yang ambil untuk kenangan atau mahu berkat Tok Guru, ketahuilah bahawa tidak ada keberkatan pada barang yang diambil tanpa keizinan tuan empunya. Mohon dipulangkan,” kata anak Allahyarham Nik Aziz itu dalam posting Facebook beliau.

 

Sementara itu Nik Abduh dalam satu kenyataan sebelum ini mendedahkan bahawa sudah ada orang-orang tertentu yang datang ke pusara bapanya dan membawa balik tanah bagi tujuan yang dipercayai boleh membawa kepada perbuatan khurafat dan syirik.

 

Katanya ada pihak tertentu yang mengambil tanah berkenaan kononnya untuk mendapatkan berkat sambil menyifatkan perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran Islam dan berharap agar ia dihentikan segera.

“Tanah orang soleh tidak ada manfaat, ilmunya yang manfaat,” katanya di kediamannya di Pulau Melaka baru-baru ini.

 

Beliau tidak melarang mana-mana pihak yang mahu melawat pusara bapanya tetapi ia hendaklah dibuat bersandarkan hukum dan sebab yang dibenarkan dalam Islam.

 

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan bahawa pihaknya tidak membuat sebarang majlis tahlil untuk arwah bapanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.