Anggota Polis Terbunuh, 47 Cedera Dalam Operasi Usir Penunjuk Perasaan

BANGKOK, 18 Feb (Bernama) — Seorang anggota polis terbunuh manakala 47 orang, termasuk anggota polis cedera dalam pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan di jambatan Phanphah, petang Selasa.

L/Koperal polis Pongsakorn Saengkrom dari wilayah Chonburi mati di tempat kejadian dalam insiden pada pukul 1.30 itu.

Awal petang tadi, anggota polis rusuhan telah berundur dari kawasan jambatan Phanphah Lilart, tempat perhimpunan dengan seorang daripada pemimpin penunjuk perasaan, Somkiet Phongphaiboon yang ditahan sebelum ini telah ‘diselamatkan’ penunjuk perasaan.

Pada awal pagi Selasa, polis menghadapi tentangan hebat daripada penunjuk perasaan apabila polis cuba mengusir mereka dari beberapa tempat perhimpunan di bandar raya ini.

Di persimpangan Miksakawan, berhampiran Rumah Kerajaan di mana letaknya pejabat perdana menteri, tindakan polis untuk mengusir penunjuk perasaan turut berdepan tentangan hebat penunjuk perasaan.

Pada pukul 2.30 petang, polis berudur dari persimpangan dan penunjuk perasaan kembali ke kedudukan mereka di sekitar Rumah Kerajaan selepas beberapa rundingan di antara kedua-dua pihak.

Kira-kira 25,000 anggota polis digerakkan dalam operasi untuk menyuraikan penunjuk perasaan di beberapa lokasi dengan menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah.

Beberapa laporan berkata senjata api digunakan namun tidak menunjukkan pihak mana yang terlibat.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.