Video: Najib Dikerumun Orang Ramai, Menteri Pula Sebaliknya

CAMERON HIGHLANDS – Sokongan terhadap Datuk Seri Najib Razak masih lagi berbisa khususnya bagi warga Felda dan masyarakat Orang Asli.

Aura itu dapat diterjemah melalui lawatan 3 harinya ke kawasan Parlimen Cameron Highlands sempena pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan pada 26 Jan ini.

Kehadiran beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Koyan turut disambut meriah apabila berpusu-pusu jemaah masjid mendekati bekas perdana menteri itu.

Selain Najib, kelihatan pemimpin Pakatan Harapan (PH) juga solat Jumaat di Masjid yang sama, termasuk Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Ahli jemaah masjid, Abdul Syukor ketika ditemui FMT berkata, sokongan Najib di sana masih kuat.

“Kita tengok tadi selepas solat, ramai orang bersalam dengan Datuk Seri Najib, ada yang ambil gambar, Tuan Ibrahim ada.

“Menteri dari PH, kalau tak salah saya Khalid ada solat di sini juga, tapi sambutan kepada beliau biasa sahaja, walaupun dia menteri tapi orang tidak berapa teruja dengan beliau, orang lebih tumpu kepada Najib lagi kerana masih sayang,” katanya sambil memaklumkan beliau penyokong Umno.

Seorang lagi penduduk kampung, Zamadi Hassan berkata dia masih menyokong Najib kerana banyak jasa ahli Parlimen Pekan itu kepada rakyat khususnya warga Felda.

“Banyak jasa beliau kepada orang Felda di sini, dari zaman bapanya Tun Razak lagi banyak tolong juga, jadi kami di sini masih terhutang budi dengan beliau, daripada kawasan Felda ini hutan belantara kini jadi kawasan pertanian,” katanya.

Kebanyakan masyarakat Felda Sungai Koyan tidak mengangap isu pendakwaan yang dihadapi Najib sebagai masalah besar sehingga rakyat menjarakkan diri dengan bekas presiden Umno itu.

Perkara itu dipersetujui seorang lagi penduduk, Ramzi Kamaruddin yang berkata: “Isu pendakwaan yang dihadapi Najib tidak menjadi alasan untuk kami berhenti sokong Najib kerana walaupun dia dihadap ke mahkamah, beliau masih belum terbukti bersalah, belum lagi disumbat dalam penjara.

“Walaupun ada perkara yang tidak kena dilakukan Najib, jasa beliau kepada penduduk banyak, zaman PH ini keadaan kami makin parah, harga sawit jatuh.”

Sementara itu, pegawai pengiring Najib ketika dihubungi FMT, mengakui sokongan kepada bekas perdana menteri itu masih kuat.

“Rakyat di sini jelas gembira dengan kehadiran Datuk Seri Najib selepas 2 hari kami di sini, penduduk tidak henti-henti datang bertemu Datuk Seri Najib.

“Mereka juga tidak menganggap pendakwaan yang dihadapi Datuk Seri Najib sebagai halangan, kerana beliau tidak terbukti bersalah.

“Bukan sahaja warga Felda, Orang Asli juga sangat teruja bertemu Datuk Seri Najib,” katanya.

Najib akan berkampung selama 3 hari di Cameron Highlands sehingga esok bagi membantu calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Nor.

Berdasarkan jadual yang diterima media, aktiviti Najib sangat padat bermula awal pagi sehingga malam. – FMT

https://www.facebook.com/farhanjamalfj/videos/2971644819519663/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!