Peguam Negara, Ketua Hakim Berjoget Bukan Isu Besar, Kata Pemimpin PPBM

“TIADA sebarang kontroversi namun pergaulan itu janganlah terkait dengan mana-mana kes, penyiasatan dan kepentingan kontrak,” kata ahli politik veteran Tan Sri Rais Yatim.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penularan video tarian membabitkan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dalam Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan 2019: Keadilan Menuju Ke Hadapan.

Menurut Rais, penularan video membabitkan tokoh kenamaan itu bukanlah satu kontroversi ataupun masalah.

“(Penularan video) Bukanlah isu besar, kita jangan terikut-ikut sangat kerana setiap individu berhak berhibur termasuklah menari dan menyanyi. Saya tengok (tonton) video itu pun bukan ada perkara lucah. Jadi, saya punya pendirian ia tidak perlu dijadikan isu langsung,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Rais bagaimanapun menegaskan, terdapat beberapa etika yang harus diperhatikan dan dijaga.

“Pergaulan itu jangan terkait dengan mana-mana kes, penyiasatan dan kepentingan kontrak yang sedang dikendalikan hakim tertentu ataupun kes yang dalam pertimbangan peguam negara. Ini saja nilai dan etika yang perlu diperhatikan,” katanya.

Katanya, masyarakat diminta supaya tidak prejudis apabila kumpulan tertentu mengadakan rekreasi sosial mereka.

“Bagi saya, jika nampak orang-orang seperti hakim dan peguam negara bersosial macam itu, kita terasa lapang juga. Ia bermakna mereka bergaul seperti manusia biasa,” katanya.

Bermula semalam, video tarian atas pentas membabitkan Tommy, Richard, Liew bersama beberapa peguam dan aktivis seperti Datuk S Ambiga Siti Zabedah Kassim (Siti Kassim) menimbulkan kebimbangan netizen berkaitan ketelusan sistem kehakiman. – HMetro

One thought on “Peguam Negara, Ketua Hakim Berjoget Bukan Isu Besar, Kata Pemimpin PPBM

  • January 20, 2019 at 5:02 pm
    Permalink

    Joget menari apa pula salahnya??…nk hibur diri dan kawan2 tiada hal?? Carry on..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.