Peguam Negara dan Ketua Hakim Tidak Wajar Terlibat Majlis Dihadiri Peguam

KUALA LUMPUR – Kehidupan sosial individu-individu penting dalam institusi perundangan negara menerusi penularan video tarian disifatkan sebagai mencemarkan sistem keadilan negara di samping diragui kredibiliti serta kebebasannya.

Individu penting institusi kehakiman termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas sepatutnya tidak boleh mendedahkan diri di situasi yang boleh dipertikaikan.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berharap pihak bertanggungjawab segera memperbetulkan keadaan dengan tidak meletakkan institusi kehakiman itu dalam keadaan diragui dan tidak diyakini ketelusan serta keadilannya.

Jelas beliau, sesiapa yang terlibat dalam institusi kehakiman dan perundangan negara sepatutnya tidak melibatkan diri dalam perkara seumpama itu apatah lagi majlis tersebut turut disertai individu seperti Datuk S. Ambiga dan peguam, Siti Zabedah Kasim sekali gus menyebabkan kredibiliti mereka diragui.

“Semua ini akan menyebabkan rakyat mempertikaikan etika, nilai dan integriti mereka yang berada dalam institusi ini.

“Lebih membimbangkan, mereka yang berkedudukan tinggi dalam institusi ini dibimbangi akan berpihak apabila sampai waktu tertentu nanti dan tidak mengamalkan dasar keadilan yang sebenarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebuah klip video yang memaparkan pegawai-pegawai tertinggi badan perundangan negara menari dalam satu majlis makan malam tular dalam media sosial sejak semalam sehingga mencetuskan perdebatan hangat.

Video berdurasi seminit 37 saat dipercayai dirakam semasa Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan 2019 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah memperlihatkan Richard dan Tommy menari twist mengikuti rentak irama sebuah lagu Inggeris.

Selain Malanjum dan Tommy, turut kelihatan menari-nari dalam majlis yang dipercayai dihadiri oleh para pengamal undang-undang itu ialah Vui Keong serta peguam-peguam kontroversi seperti Ambiga dan Siti Kasim. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.