Adalah Ganjil Bila SPR Dikendalikan Seorang Individu Sahaja – Pakar Perlembagaan

KUALA LUMPUR – Pakar perlembagaan berpendapat adalah agak ganjil apabila urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya dikendalikan seorang individu, sekali gus menggambarkan kepincangan dalam aspek tadbir urus.

Mereka berpendapat wujud kelompongan dalam aspek tadbir urus dan pertikaian mengenai SPR itu timbul kerana proses peralihan jawatan dalam suruhanjaya itu berlaku tidak mengikut tertib.

Mereka juga bimbang kerana SPR adalah lambang demokrasi tetapi apabila isu kekosongan jawatan timbalan dan lima ahlinya tidak diisi, ia kelihatan seperti tidak menghormati demokrasi.

Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata dalam perlembagaan tidak dijelaskan kesan perundangan jika berlaku situasi yang mana hanya ada seorang ahli dalam suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, katanya, apabila Pengerusi berseorangan, keputusan yang beliau buat akan dipersoalkan sekurang-kurangnya dari segi moral dan kewajaran.

“Namun, saya berpendapat jika wujud sebab yang terdesak, maka ia dibenarkan. Jika tidak terdesak, maka Pengerusi SPR perlu menunggu lantikan penuh sebelum membuat keputusan yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan beberapa pihak termasuk UMNO dan MCA berhubung kedudukan SPR yang hanya diterajui Pengerusi, tanpa timbalan dan lima ahli yang meletak jawatan akhir bulan lalu belum lagi diganti.

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, masalah itu dapat dielakkan jika proses peralihan jawatan dalam SPR berlaku dengan lebih tertib dan anggota asal sepatutnya dibiarkan berfungsi sebagai anggota suruhanjaya sehingga calon baru melalui proses kelulusan dan melepasi mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz pula berkata, walaupun perlembagaan tidak menyebut kesan perundangan dengan ketiadaan ahli lain selain Pengerusi dalam suruhanjaya itu, keputusan yang dibuat seeloknya dibuat dengan suara majoriti bukannya keputusan Pengerusi seorang saja. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.