Dalam Menunduk Muhyiddin Menyonggeng Kata Aziz Kaprawi

KUALA LUMPUR -Kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan tidak mencerminkan taat setia terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan negeri Johor.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi melalui satu kenyataan yang dihantar kepada SuaraTV sebentar tadi berkata, Muhyiddin terlepas pandang akan titah Sultan Ibrahim yang menyatakan unit hartanah yang bakal dijual itu terletak pada kawasan tambakan laut dan bukan merupakan tanah pusaka seperti yang didakwa.

 

“Malah, salah satu syarikat yang terlibat dalam usaha sama menjayakan projek ini merupakan milik penuh Kerajaan Negeri Johor yang mana saya yakin hasil pelaburan ini bakal meningkatkan ekonomi Negeri Johor sekaligus mampu untuk menaiktaraf kehidupan rakyat Johor itu sendiri.

 

“Kenyataan Tan Sri Muhyiddin juga telah menunjukkan bahawa beliau tidak berbicara dengan angka dan fakta tetapi hanya persepsi semata-mata tanpa meluangkan masa untuk membuat kajian terlebih dahulu,” memetik kenyataan tersebut.

 

Abd Aziz turut menegaskan soal keselamatan dan kedaulatan negara tidak terletak kepada Muhyiddin dan PPBM tetapi adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong seperti mana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

 

“Saya melihat walaupun Tan Sri Muhyiddin telah menyatakan taat dan sumpah setia kepada Tuanku Sultan dan Negeri Johor, beliau langsung tidak menunjukkan sebarang persetujuan terhadap titah Tuanku Sultan Johor.

 

“Lebih mengecewakan lagi apabila Tan Sri Muhyiddin bersetuju dengan dakwaan songsang Tun Dr. Mahathir walaupun kenyataan itu telah mendapat kemurkaan Tuanku Sultan.

 

“Inilah yang disebut-sebut selama ini sebagai ciri parti dan individu yang mahu membawa virus perpecahan ke dalam Negeri Johor,” ujarnya lagi.

 

Terdahulu Sultan Ibrahim melalui temu ramah dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris murka dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana cuba memainkan politik untuk menakut-nakutkan dan perkauman berhubung pelaburan China di negeri ini.

 

Baginda turut mengingatkan jika perbuatan seperti itu dibiarkan, ia boleh menjauhkan para pelabur untuk melabur di negara ini.

 

Sultan Ibrahim turut menyelar tindakan bekas Perdana Menteri itu yang dilihat sebagai meletakkan kepentingan politik melebihi kepentingan rakyat Malaysia, khususnya Johor. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.