VIDEO: Peminat ‘Disampuk’ Ketika Tonton Filem Villa Nabila?

Ketika filem terbaru, Villa Nabila arahan Syafiq Yusof menjengah pawagam sejak 15 Januari lalu, heboh cerita peminat yang datang menonton filem itu terkena histeria.

 

Antara percaya atau tidak, ada dakwaan mengatakan ia menjadi salah satu strategi promosi filem berkenaan untuk tarik perhatian ramai ke pawagam.

 

 

Namun, Syafiq, 23, menyangkal  dakwaan berkenaan kononnya dia mengupah penonton untuk berlakon seperti dirasuk sewaktu menonton filem berkenaan.

 

Jelas anak bongsu kepada pengarah juga penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam menyatakan terkejut ketika mendengar berita itu yang tersebar di laman sosial, Facebook dan menjadi bualan ramai.

 

“Ramai orang cakap individu yang terkena histeria itu dirancang sebagai promosi.

 

“Sebenarnya, saya tidak pernah mengupah ataupun membayar sesiapa untuk berlakon terkena histeria” katanya.

 

Shafiq turut menyatakan terkejut dengan dakwaan tersebut apabila dimaklumkan mengenai dakwaan kononnya ada penonton terkena histeria sewaktu menonton filem tersebut.

 

“Saya sudah bertanyakan kepada produksi dan bahagian pemasaran sama ada mereka tahu hal ini dan merancang seperti yang didakwa.

 

“Mereka pun tidak tahu menahu hal itu dan mengesahkan yang perkara itu sama sekali tidak dirancang. Lagipun kejadian itu di Johor Bharu, saya pelik juga. Mungkin penonton itu lemah semangat,” katanya lagi.

 

Difahamkan, berita penonton terkena histeria  dikatakan berlaku di satu pawagam di Johor Bharu.

 

Villa Nabila 2

Villa Nabila adalah filem dokumentari, cereka dan seram menyingkap kisah benar mengenai sebuah rumah tidak berpenghuni selepas peristiwa kehilangan seorang remaja menjadi ‘viral’ dalam kalangan masyarakat beberapa tahun lalu.

 

Menerusi pelbagai versi cerita yang diperkatakan mengenai rumah ‘berhantu’ ini, Syafiq pula memaparkan plot dua kontraktor iaitu Asyraf dan Amar melalui pengalaman pelik, mistik dan seram sewaktu menjalankan projek di kawasan rumah berkenaan.

 

Filem tersebut diterajui gandingan pelakon utama, Pekin dan Tisya Shamsir.

 

Dalam pada itu, akui pengarah yang pernah memenangi anugerah Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25), produksinya pernah memikirkan gimik histeria sebagai strategi promosi tetapi dia tidak meneruskan hasrat itu kerana tahu cara itu boleh menerima kecaman penonton.

 

“Sebenarnya, saya dan produksi ada terfikir tentang strategi sebegitu tapi kami tak teruskan sebab sudah pasti ramai yang akan kritik dan marah. Tak sangka pula betul-betul ada yang terkena histeria dan itu yang membuatka saya terkejut,” katanya.

 

Bagaimanapun, Syafiq tidak menganggap kejadian histeria itu satu tindakan sabotaj dari mana-mana pihak terhadap filemnya.

 

Namun, dia berharap penonton yang masih belum menonton jangan terlalu negatif malah menyarankan agar mereka menonton dahulu filem itu sebelum membuat penilaian.

 

“Mungkin juga penonton itu terlalu lemah semangat. Saya sarankan pada mereka yang mahu menonton, ajaklah sekali kawan beramai-ramai.

 

“Sebelum dapat berita tentang ada penonton yang histeria, saya bersyukur apabila mendapat banyak respon positif penonton.

 

“Saya berharap ramai penonton ke pawagam dan tonton dulu filem ini sebelum membuat penilaian,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.