UBM Jangka Pertumbuhan Pasaran Pameran Asean Berkembang 10 Peratus

UBM Asia Ltd menjangka pasaran pameran di Asean berkembang pada purata 10 peratus setahun dalam tempoh lima tahun akan datang susulan pelaksanaan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) pada akhir tahun ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Jime Essink.

 

Beliau berkata pertumbuhan itu berkait rapat dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

“Oleh kerana purata pertumbuhan negara-negara Asean ialah kira-kira lima peratus, kami mengunjur pertumbuhan perniagaan berganda tetapi ia mungkin berbeza mengikut industri,” kata Essink.

 

Perniagaan pameran global bernilai US$23 bilion pada 2014 dengan Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam menyumbang US$600 juta, katanya.

 

Beliau berkata syarikat itu kini akan meletakkan semua acara perdagangannya sebagai acara serantau untuk memanfaatkan AEC sebagai pasaran yang lebih besar dan menarik dengan meningkatkan promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung dan pembeli ke Asean.

 

“AEC merupakan sebuah pasaran besar terdiri daripada 600 juta penduduk justeru itu ia akan menjadi kelebihan bagi syarikat-syarikat untuk menyertai acara serantau.

 

“Mereka bersedia untuk melabur bagi mendapatkan pasaran,” kata Essink kepada Bernama.

 

Beliau berkata Kuala Lumpur dijadikan sebagai pejabat serantau memandangkan peranan UMB Malaysia dalam menganjurkan acara Asean.

 

UBM Asia menganjurkan purata 230 acara setahun di Asia dengan 60 acara diadakan di Asean di mana daripada jumlah itu UBM Malaysia menganjurkan 30 acara.

 

“Separuh daripada acara-acara itu diadakan di Malaysia,” katanya.

 

Bagaimanapun, Essink berkata oleh kerana perniagaan pameran perdagangan berkembang di Malaysia, ia kini berdepan dengan masalah batasan venue kerana pameran perdagangan memerlukan ruang yang besar dan venue di Malaysia terhad dari segi kapasiti ruang dan tempahan yang begitu banyak.

 

Pengarah Urusan UBM Malaysia (Perniagaan Asean) M.Ghandi berkata ketika ini venue di Malaysia memiliki gabungan kapasiti ruang maksimum kasar kira-kira 47,000 meter persegi dan ini dijangka meningkat kepada 90,000 meter persegi pada 2017 apabila pusat Pameran Matrade siap kelak.

 

Beliau berkata, berbanding negara-negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia yang memiliki kapasiti ruang lebih besar sehingga 150,000 meter persegi, Malaysia mungkin tidak menjadi venue menarik bagi acara perdagangan besar di masa depan.

 

Menurutnya, kerajaan, organisasi perdagangan dan perniagaan perlu memahami nilai acara-acara perdagangan.

 

“Ia bukan hanya semata-mata tentang pelancongan di mana hotel habis ditempah. Pihak berkepentingan perlu menyertai dengan cara yang lebih bermakna dan melihat acara perdagangan sebagai kaedah untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan bagi negara,” katanya.

 

UBM Asia merupakan penganjur pameran utama Asia dan penganjur komersial terbesar di tanah besar China, India dan Malaysia.

 

Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia, sebagai contoh, adalah pameran perdagangan terbesar yang dianjurkan oleh UMB di Asean dan Malaysia dan menarik kira-kira 6,200 pengunjung dari 150 negara. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.