Tiada Kes Rasuah Libatkan Tun Daim Dalam Siasatan SPRM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) — Tiada kes rasuah terhadap bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, berdasarkan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1998.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata berdasarkan penilaian siasatan SPRM terhadap Daim sebelum ini, tidak mempunyai sebarang bukti yang kukuh mengenai dakwaan rasuah.

 

“Untuk makluman, siasatan ke atas Tun Daim telah pun dijalankan Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) pada tahun 1998. Timbalan pendakwa raya yang meneliti kes ini pada masa itu telah membuat keputusan tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

 

Beliau mengulas laporan media sebelum ini yang memetik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa dirinya mempunyai bukti terhadap kes rasuah melibatkan bekas Menteri Kewangan pada 1998, yang ketika itu dipegang Daim.

 

Anwar, setelah dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1997, pernah mendakwa mempunyai fail dokumen rasuah terhadap beberapa pemimpin namun sehingga kini beliau gagal kemukakan bukti kepada pihak berkuasa.

 

Mohd Shukri berkata SPRM bersedia menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan sekali lagi dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai bukti supaya bekerjasama dengan agensinya.

 

“SPRM akan berjumpa dengan Anwar yang mendakwa beliau mempunyai bukti yang kukuh berkenaan kes ini,” katanya.

 

Bagaimanapun katanya SPRM telah menemu bual Daim baru-baru ini dan keterangan yang diberi Daim, Anwar serta saksi lain akan dikemukakan semula kepada timbalan pendakwa raya.

 

Beliau berkata SPRM juga seterusnya akan kemukakan keterangan tersebut kepada Panel Penilaian Operasi, badan bebas yang memantau operasi SPRM.

 

“SPRM menegaskan bahawa agensinya sentiasa menjalankan fungsinya termasuk siasatan dengan bebas, telus dan profesional berdasarkan Akta SPRM 2009,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.