Sultan Kedah Bimbang Isu Perpaduan Kaum Dan Agama Makin Meruncing

Kuala Lumpur – Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah melahirkan kebimbangan berhubung isu perpaduan antara kaum dan yang disifatkan sangat meruncing di Malaysia, lapor Utusan Malaysia.

 

Titah baginda,‎ sikap toleransi dan hormat-menghormati yang mula diamalkan sejak Malaysia merdeka kini mula diabaikan.

 

“Dengan izin Allah‎ beta sudah bersemayam di takhta selama 57 tahun. Walaupun pelbagai peristiwa beta saksi sepanjang pemerintahan, beta tidak pernah berasa begini bimbang dengan hubungan antara kaum dan agama yang semakin rapuh,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

 

Sultan Kedah bertitah sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Pengurniaan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-87 di Istana Anak Bukit di Alor Star semalam.

 

Teks ucapan baginda dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tuanku Temenggong Datuk Seri Diraja Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

 

Tuanku Abdul Halim menggesa orang ramai agar tidak melakukan provokasi yang boleh menimbulkan perbezaan pendapat dan sentimen perkauman.

 

Katanya, kebebasan dan hak bersuara tanpa batasan hanya akan akan mengundang reaksi balas daripada pihak yang tersinggung.

 

“Perlembagaan Persekutuan secara jelas digubal untuk mengelak daripada tercetusnya konflik dalam kalangan rakyat.

 

‘‘Jika rakyat cintakan keamanan dan kedamaian seperti beta, maka gunakanlah kebebasan dan hak bersama ini dengan berhemah,’’ titah Tuanku Abdul Halim.

 

Minggu lalu, Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty Eric Paulsen mencetuskan polemik dengan mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosi ekstremisme menerusi penyampaian khutbah Jumaat.

 

Paulsen dilaporkan membuat catatan di akaun Twitternya minggu lalu mengatakan, “Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia”.

 

Ia mencetuskan kemarahan hingga terdapat beberapa laporan polis dilakukan dan akhirnya pada minggu lalu, peguam itu ditahan polis.

 

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitternya. “@PDRM baru sahaja menangkap Eric Paulsen.” tulis Khalid.

Antara lain Tuanku Abdul Halim dalam titahnya turut menzahirkan kebimbangan dengan pembabitan rakyat negara ini dengan kegiatan dan fahaman ekstremisme sehingga sanggup menjadi pengganas berani mati di negara asing.

 

‘‘Ibu bapa disaran mengawasi anak-anak supaya menghindari mereka daripada terjebak dengan fahaman yang sebenarnya menyimpang daripada ajaran agama sebenar.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.