Strategi Mahu Islam Dilabel Ekstremis

KUALA LUMPUR 18 Jan. – Tindakan akhbar mingguan Perancis, Charlie Hebdo yang berterusan membangkitkan kemarahan umat Islam dipercayai merupakan strategi tersusun mereka untuk mengeksploitasi reaksi orang Islam.

 

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia ( Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, reaksi kemarahan itu kemudian dipergunakan Charlie Hebdo untuk menggambarkan Islam sebagai agama yang ekstremis di mata masyarakat dunia.

 

“Bila terjadi pergaduhan, Islam akan dituduh ekstremis dan jahat sedangkan perbuatan tersebut berpunca daripada sikap mereka yang asalnya cuba melakukan provakasi.

 

“Tindakan mereka itu berpunca daripada simpati masyarakat dunia terhadap nasib rakyat Palestin, oleh itu, mereka merancang agenda untuk hina Islam yang akan mencetuskan ke­ganasan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Beliau mengulas tindakan provokasi akhbar mingguan tersebut yang menerbitkan edisi khas empat muka surat memaparkan karikatur Nabi Muhammad SAW minggu ini yang mendapat bantahan umat Islam di 10 buah negara semalam sehingga menyaksikan empat kematian di Niger.

 

Ibrahim berkata, umat Islam tidak seharusnya bertindak liar kerana tindakan sedemikian akan memburukkan lagi imej Islam,

 

“Mereka sebaliknya perlu berfikiran rasional dan berhati-hati serta istiqamah dalam setiap perbuatan,” katanya.

 

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Aidit Ghazali memberitahu, akhbar tersebut cuba mencabar dan menghina Rasulullah dengan niat jahat, malah ia telah dinyatakan dalam al-Quran iaitu musuh Islam tidak akan bersenang hati melihat kemakmuran orang Islam.

 

Jelasnya, masyarakat dunia perlu menolak ketaksuban kepada Yahudi atau mana-mana agama di samping mengutamakan nilai kemasyarakatan dalam isu penghinaan kepada Islam. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.