Skuad Negara Belum Bersedia Harungi Cabaran 2015

SKUAD badminton negara membuka tirai 2015 dengan episod duka.

 

Tidak keterlaluan untuk mentafsir kegagalan mereka di Kejohanan Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia 2015 di Kuching Sarawak yang sebenarnya membuktikan pemain belum cukup bersedia untuk memulakan musim baharu yang dijangka lebih mencabar terutama ketiadaan ikon negara, Datuk Lee Chong Wei.

 

Entah di mana silapnya, tanpa Chong Wei, semua serba tidak kena khususnya buat perseorangan lelaki negara apabila tiada seorang pun wakilnya mara ke separuh akhir kejohanan tersebut.

 

Walaupun menerima sokongan padu daripada penonton di Stadium Perpaduan, namun itu tidak cukup untuk menaikkan semangat mereka untuk merangkul kejuaraan sulung tersebut.

 

Kesimpulannya, kejohanan sulung yang diharap dimulakan dengan langkah kanan tidak mampu direalisasikan pemain dan sinar 2015 bertukar menjadi mimpi buruk buat kem negara.

 

Semua pemain Malaysia gulung tikar

 

Mengimbas prestasi pemain pada kejohanan tersebut, hanya beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Lai Pei Jing mengubat sedikit kekecewaan negara apabila mara ke separuh akhir.

 

Namun, kegembiraan itu hanya seketika apabila kedua-dua beregu negara itu tidak mampu menandingi lawan masing-masing.

 

Bagaimanapun kemaraan mereka sehingga ke separuh akhir itu boleh dianggap penawar duka kepada kem badminton negara memandangkan pemain yang diharapkan mara lebih jauh, namun sebaliknya berlaku.

 

Pemain harapan negara, Liew Daren tunduk kepada Ajay Jarayam dari India 16-21, 23-21, 8-21 malah, Chong Wei Feng yang diharap mampu bersinar turut beraksi hambar apabila bungkus awal di pusingan kedua.

 

Hasrat Mohd Arif untuk mengejutkan pemain veteran Korea Selatan, Lee Hyun Il juga tidak kesampaian selepas kecewa 21-16, 20-22, 11-21.

 

Seorang lagi perseorangan lelaki negara, Teck Zhi pula tewas dalam pertarungan tiga set kepada pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin 21-16, 14-21, 10-21.

 

Kegagalan tersebut menyaksikan Malaysia mencatat antara keputusan terburuk dalam kejohanan Grand Prix Emas bernilai AS$120,000 (RM428,000), sekali gus mencetus kebimbangan pada ketika kelayakan Sukan Olimpik 2016 semakin hampir.

 

Bakal harungi ‘azab’ 2015?

 

Segala yang berlaku kepada badminton negara, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) harus melakukan perubahan drastik bermula peringkat akar umbi memandangkan tiada pelapis berpotensi untuk mengambil alih tempat Chong Wei.

 

Malah, cabaran 2015 pastinya akan lebih memberi tamparan hebat kepada mereka apatah lagi dengan beberapa kejohanan sukan terbesar termasuk mengumpul mata untuk Sukan Olimpik 2016.

 

Dengan ketiadaan Chong Wei yang masih menunggu tarikh perbicaraan kes doping juga sedikit sebanyak akan merencatkan persiapan negara dan ini perlu diteliti bagi melihat sukan badminton akan meniti ke puncak kejayaan pada tahun ini. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.