Singapura Kaji Cadangan Malaysia Kenakan Bayaran Terhadap Kenderaan Asing

Singapura sedang mengkaji cadangan Malaysia untuk mengenakan bayaran permit masuk kenderaan (VEP) sebanyak RM20 terhadap kenderaan asing mulai pertengahan tahun ini dan menimbang melaksanakan langkah sejajar dengannya setelah memperoleh butiran terperinci mengenainya.

 

Menjawab satu soalan Parlimen, Menteri Pengangkutan Lui Tuck Yew berkata bayaran VEP yang dikenakan republik ini bertujuan menyamakan kos memiliki dan menggunakan kenderaan berpendaftaran asing di Singapura dengan kenderaan yang didaftarkan di Singapura.

 

Sebaliknya, kata beliau, cadangan levi masuk yang akan dikenakan Malaysia nampaknya lebih mirip kepada tol terhadap kenderaan berpendaftaran asing bagi tujuan mengutip hasil.

 

“Jika begitulah, kita akan menimbang mengambil langkah lebih kurang serupa setelah butiran tentang levi yang akan dikenakan itu disahkan, termasuk sama ada ia hanya dikenakan di sempadan Malaysia dengan Singapura, atau di semua sempadannya,” kata Lui.

 

Beliau ditanya sama ada kementerian itu menimbang untuk menyelaraskan bayaran VEP terhadap kenderaan asing yang memasuki Singapura berikutan langkah Malaysia mengenakan bayaran VEP terhadap kenderaan Singapura yang memasuki Johor.

 

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Abdul Aziz Kaprawi dilaporkan berkata butiran tentang pelaksanaan bayaran VEP terhadap kenderaan asing sedang disediakan dan apabila siap kelak, ia akan dikenakan di Tambak Johor dan Link Kedua.

 

Katanya, kerajaan juga bercadang mengenakan bayaran serupa terhadap kenderaan dari Thailand dan Brunei.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.