Sindiket Jual Telefon Pintar Guna Nama Kastam

KUALA LUMPUR – Sindiket menjual telefon pintar tiruan mampu mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan bergerak secara berkumpulan menipu orang ramai di beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R) lebuhraya, termasuk lokasi terkenal di sekitar ibu kota.

 

Wartawan Sinar Harian yang melakukan pemantauan selama sebulan mendapati, sindiket ini meyakinkan orang ramai kononnya telefon pintar yang dijual adalah set asli yang diperoleh dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

 

Kumpulan ini menjadikan kawasan parkir hentian R&R sebagai lokasi sasaran untuk menjual telefon pintar tiruan buatan China.

 

Mereka akan mengetuk cermin kereta dan meyakinkan mangsa telefon dijual adalah asli.

 

Berdasarkan tinjauan, sindiket ini didapati menjalankan kegiatan secara terancang menyebabkan pihak berkuasa gagal membuat sebarang tangkapan. Berdasarkan aduan yang diperoleh, mereka akan segera meninggalkan lokasi selepas mangsa membuat pembayaran.

 

Kawasan R&R yang menjadi sasaran sindiket ini termasuk di R&R Seremban, Hentian Awam Besar dan beberapa hentian besar, termasuk di Serdang, Klang dan Sungai Buloh.

 

Sindiket jualan telefon bimbit jalanan semakin berani berkeliaran seolah-olah tidak kisah menonjolkan diri di khalayak ramai untuk mencari pelanggan.

 

Difahamkan, pelanggan yang sedar tertipu gagal mengesan si penipu ini kerana mereka cepat menghilangkan diri selepas mendapat bayaran, sementara yang berjaya dikesan tidak mengaku.

 

Ramai yang terpengaruh dan membeli telefon pintar yang dijual sindiket itu berikutan harganya murah berbanding harga di kedai.

 

Pembeli juga sukar memastikan sama ada telefon itu tiruan atau asli.

 

Rentetan komen orang ramai, Sinar Harian membuat tinjauan lebih lima jam di kawasan R&R Seremban arah selatan dan utara yang dipercayai menjadi tumpuan anggota sindiket itu.

 

Ketika pergi ke R&R pada tengah hari, tidak sampai 20 minit meletakkan kenderaan, kami didatangi seorang lelaki dipercayai penjual telefon. Dia berpakaian kemas dan sentiasa berada di sekitar kawasan R&R mencari mangsa.

 

Penjual itu mengetuk cermin tingkap dan menunjukkan kepada pelanggan telefon pintar Samsung Galaxy S4.

 

Situasi 1

 

PENJUAL : Bang, nak beli telefon? Murah saja, RM900. Saya bagi kotak dan semua aksesori. Set original, cuma tak ada warranty.

 

WARTAWAN: Betul ke ori? RM900 ni mahal sangat la. Saya nak ke Johor adik kahwin. Nak pakai duit banyak.

 

PENJUAL: Mesti original bang, kita ambil daripada Kastam. Abang boleh cek sendiri.

 

*Penjual tersebut terus menunjukkan cara-cara untuk memastikan sama ada telefon itu tulen atau tidak.

 

*Pengamatan wartawan mendapati, telefon yang dijual hanya ada kesan calar pada permukaan telefon. Selebihnya kelihatan tulen. Kami kemudiannya meminta untuk melihat kotak telefon pintar itu.

 

*Kotak yang ditunjukkan ternyata bukanlah datang daripada barang tulen. Begitu juga dengan aksesori termasuk pengecas telefon. Hanya rupa dan warna hampir sama dengan kotak yang dibeli di kedai.

 

WARTAWAN: RM900 ni mahal sangat la. Saya nak balik kampung dekat Johor, adik kahwin. Nak pakai duit banyak.

 

PENJUAL: Berapa abang ada (wang)?

 

WARTAWAN: RM300?

 

PENJUAL : Kami pun mahu untung juga bang. Kalau abang betul-betul nak saya kasi RM450.

 

WARTAWAN: Tak pe lah. Sekarang tak cukup duit. Nanti datang semula.

 

PENJUAL: Rezeki (tuah) tak datang selalu bang. Kali ini saya boleh bagi harga murah. Tempat lain tak dapat harga ini.

 

WARTAWAN: Tak apa. Kami tidak mahu beli.

 

Itu modus operandi kumpulan ini. Mereka memerhati mangsa untuk dijadikan sasaran, menunjukkan telefon yang dijual, berlaku tawar-menawar sehinggalah ada yang sedia membelinya. Namun mereka tidak pula memaksa mangsa membelinya.

 

Selepas lelaki itu beredar, wartawan tidak berganjak dari lokasi asal. Dalam tempoh 30 minit, dapat diperhatikan kumpulan ini begitu aktif mendekati mangsa.

 

Lebih 20 orang mereka hampiri. Sama ada yang berada di dalam kereta atau sekitar kawasan tersebut. Penjual pula sentiasa menunggu di tempat sama berdekatan surau kawasan itu.

 

Situasi 2

 

SETELAH lama memerhati kegiatan kumpulan tersebut, wartawan mengambil keputusan meninjau di R&R Seremban menghala ke Kuala Lumpur.

 

Namun ketika berhenti mengisi minyak, kami sekali lagi didatangi penjual telefon bimbit.

 

Kali ini, penjual sanggup menawarkan harga serendah RM800 bagi Samsung Galaxy Note 3 daripada RM1,300 yang ditawarkan pada mulanya.

 

Harga ditawarkan rendah menimbulkan keraguan. Penjual yang mengakui berasal dari Sabah, dikatakan mahu bertemu rakannya di Johor dan amat terdesak memerlukan wang belanja.

 

Telefon itu pula dijual tanpa aksesori, tiada jaminan, telefon pula dipercayai tidak asli. Peliknya, daripada cara percakapan dan bahasa tubuh si penjual, dia bukanlah terlalu terdesak atau tidak berwang.

 

Sebaik kami menolak tawaran si penjual, kami dapati dia berlalu dan terus mencari pelanggan lain.

 

Sunyi tanpa kegiatan jual beli

 

SUASANA berbeza di R&R Seremban menghala ke Kuala Lumpur. Pemerhatian kami lebih satu jam di sana tidak menemui sebarang aktiviti sama di R&R Seremban arah selatan.

 

Tinjauan turut diadakan di sekitar kawasan R&R, namun kami tidak menemui kumpulan penjual yang dicari seperti mana dilaporkan dalam media sosial sebelum ini. Kegiatan sindiket ini tidak hanya berlaku di R&R Seremban. Berdasarkan viral yang tersebar di blog-blog dan media sosial, ia berlaku di kebanyakan kawasan R&R.

 

Sekembali ke lokasi sama, penjual sama masih terus melakukan kegiatan itu.

 

Mereka dipercayai sebenarnya bukan tiada duit dan terdesak seperti cerita sedih mereka sebaliknya ia modal untuk memanipulasi mangsa agar membeli telefon bimbit pada harga tidak munasabah. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.